GPS terus pacu kemajuan ekonomi Sarawak demi kesejahteraan rakyat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO’ Sri Doris Sophia Brodie pada program Santai Prihatin Menyantuni Rakyat yang diadakan di Rumah Jamit, Kampung Danau Melikin, di Balai Ringin, semalam. Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman

BALAI RINGIN: Pencapaian ekonomi Sarawak yang semakin memberangsangkan membuktikan keberkesanan dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata antara pencapaian utama yang wajar dibanggakan ialah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Sarawak bagi 2025 yang mencecah RM73,757.

Menurut beliau, jumlah itu jauh mengatasi KDNK per kapita Malaysia yang direkodkan pada RM59,167 bagi tempoh sama.

“Ini bermakna KDNK per kapita Sarawak adalah kira-kira 25 peratus lebih tinggi daripada purata nasional, sekali gus memperlihatkan kekuatan ekonomi negeri hasil dasar pembangunan yang mampan, berwawasan dan berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santai Prihatin Menyantuni Rakyat yang diadakan di Rumah Jamit, Kampung Danau Melikin, di sini, semalam.

Doris berkata kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan daya saing ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang pembangunan serta manfaat kepada rakyat di seluruh Sarawak.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa penubuhan Dana Kedaulatan Sarawak merupakan langkah strategik kerajaan GPS dalam mengurus dan melaburkan sebahagian hasil negeri secara berhemat.

“Dana berkenaan diwujudkan bagi memastikan hasil negeri dapat dimanfaatkan secara mampan demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran Sarawak dalam jangka panjang,” ujarnya

Beliau berkata dana itu turut berperanan memelihara kepentingan generasi akan datang serta memperkukuh kedudukan kewangan negeri dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi pada masa depan.

Menurut beliau, pendekatan berhemat dan berpandangan jauh yang diamalkan kerajaan negeri menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan Sarawak terus berkembang secara inklusif dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, Doris mengesa rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada segala inisiatif kerajaan GPS yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kemakmuran Sarawak dapat diteruskan demi manfaat seluruh rakyat negeri ini.

Oleh Adi Safarman