
SRI AMAN: Di sebalik setiap bilah buluh yang dianyam menjadi Ketapu Lanjang, tersimpan tekad seorang pengusaha untuk memastikan warisan masyarakat Iban terus kekal hidup, meskipun berdepan pelbagai cabaran dari segi bahan mentah, kos pengeluaran dan arus pemodenan.
Bagi Inda Belat, 46, menghasilkan Ketapu Lanjang bukan sekadar memenuhi permintaan pelanggan, tetapi menjadi tanggungjawab memelihara identiti budaya yang diwarisi turun-temurun.
Beliau berkata, penglibatannya dalam bidang anyaman bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila nekad mempelajari sendiri teknik menghasilkan Ketapu Lanjang tanpa mengikuti sebarang kursus atau berguru dengan mana-mana penganyam.
“Hanya berpandukan sebuah Ketapu Lanjang yang dibeli daripada rakan, saya memerhati sendiri teknik anyaman, warna dan coraknya sehingga berjaya menghasilkan topi tradisional ini.

“Corak pertama yang saya hasilkan ialah motif Buah Lelambak, iaitu antara corak anyaman tradisional masyarakat Iban yang diwarisi sejak zaman nenek moyang dan masih dikekalkan sehingga hari ini,” katanya.
Menurut Inda, Ketapu Lanjang diperbuat daripada buluh ruas yang sama digunakan untuk memasak pansuh dan membuat lulun pulut, namun proses pembuatannya memerlukan kesabaran, ketelitian dan kemahiran yang tinggi.
Beliau berkata, setiap buluh perlu melalui proses mengikis, menjemur, memotong mengikut saiz, mengecat, menjemur semula sebelum dibelah halus menjadi bilah-bilah anyaman.
“Sedikit kesilapan ketika menganyam boleh menjejaskan keseluruhan corak. Sebab itu setiap Ketapu Lanjang dihasilkan dengan penuh teliti bagi memastikan kualitinya terpelihara,” ujarnya.
Selain menghasilkan anyaman, beliau turut menguruskan kebun dan hanya mampu menyiapkan sehingga dua buah Ketapu Lanjang sehari sekiranya tidak mempunyai urusan lain.

Mengulas cabaran yang dihadapi, Inda berkata bekalan buluh kini semakin sukar diperoleh kerana perlu dicari di kawasan jalan balak dan hulu sungai yang jauh serta melalui laluan berbukit dan bercerun.
Katanya, kenaikan harga bahan mentah, penggunaan cat berkualiti, kekangan pengangkutan serta persaingan pasaran turut meningkatkan kos pengeluaran, selain masih terdapat pelanggan yang kurang memahami kerumitan proses menghasilkan setiap Ketapu Lanjang.
Walaupun begitu, beliau tetap mengekalkan kaedah pembuatan tradisional yang diwarisi turun-temurun, dengan perubahan hanya melibatkan pilihan warna mengikut cita rasa pelanggan.
Beliau berkata, sambutan terhadap Ketapu Lanjang masih menggalakkan terutama ketika sambutan Gawai, majlis kebudayaan dan program rasmi, manakala generasi muda kini semakin mengenali warisan tersebut melalui penggunaannya di sekolah dan persembahan kebudayaan.

Menurutnya, motif Buah Lelambak bukan sekadar menghiasi anyaman, malah melambangkan rezeki yang melimpah, keharmonian hidup dan hubungan erat masyarakat Iban dengan alam semula jadi.
Bagi memastikan seni anyaman itu terus diwarisi, Inda menerima tempahan secara terus dan melalui media sosial, selain membekalkan Ketapu Lanjang kepada kedai kraftangan, pasukan tarian dan kumpulan kebudayaan.
“Saya berharap seni anyaman Ketapu Lanjang akan terus dipelihara, dihargai dan diwarisi oleh generasi muda supaya warisan masyarakat Iban ini bukan sahaja terus hidup di Sarawak, malah semakin dikenali di seluruh Malaysia,” katanya.
Oleh Norman B




