
KUCHING: Pelancaran enam bas dua tingkat MAN Euro 5 baharu Mutiara Borneo menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam darat di Sarawak ke arah yang lebih moden, cekap dan mampan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaburan dilakukan Mutiara Borneo mencerminkan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap potensi pembangunan negeri, selain selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, armada baharu itu dilengkapi pelbagai ciri moden termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV), port pengecas USB, tempat duduk yang selesa serta kemudahan VIP bagi meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang bagi laluan jarak jauh.
“Pelaburan oleh Mutiara Borneo ini amat bertepatan dan sejajar dengan visi kerajaan Sarawak untuk membina rangkaian pengangkutan awam yang moden, cekap dan mampan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).”

Lee berkata, usaha membangunkan sistem pengangkutan awam yang berkualiti memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pengusaha pengangkutan, pengilang serta rakan industri bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan terus memenuhi keperluan rakyat.
Beliau berkata, peningkatan infrastruktur jalan raya termasuk siapnya sebahagian besar jajaran Lebuh Raya Pan Borneo serta pembinaan 21 jambatan utama di Sarawak akan memperkukuh jaringan perhubungan di seluruh negeri.
“Dengan siapnya sebahagian besar jajaran Lebuh Raya Pan Borneo serta pembinaan 21 jambatan utama di Sarawak, operator seperti Mutiara Borneo akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, sekali gus menjadikan pengangkutan bas antarabahagian sebagai pilihan yang semakin menarik kepada orang ramai.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran bas dua tingkat Mutiara Borneo di Kuching, hari ini.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan akses, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, Lee menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mutiara Borneo dan MAN Truck & Bus Malaysia atas kerjasama strategik dalam meningkatkan standard pengangkutan awam di Sarawak
Pada majlis itu, Lee turut memaklumkan lima daripada enam bas dua tingkat MAN Euro 5 berkenaan telah pun memulakan operasi di laluan ekspres di seluruh Sarawak.
Oleh Norman B



