Taylor Louise harumkan nama Sarawak di pentas Carnegie Hall

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
TAYLOR persembahan di Weill Recital Hall, Carnegie Hall, New York selepas meraih Tempat Pertama Kategori Vokal Umur 10 hingga 12 Tahun pada Pertandingan Antarabangsa New York International Golden Classical Music Awards 2026. Foto Facebook Taylor Louise

NEW YORK, Amerika Syarikat: Vokalis muda Sarawak, Taylor Louise mencipta kejayaan membanggakan selepas meraih dua pengiktirafan pada Pertandingan Antarabangsa New York International Golden Classical Music Awards 2026, sekali gus mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas muzik dunia.

Taylor, 12, memenangi Tempat Pertama bagi Kategori Vokal Umur 10 hingga 12 Tahun selain menerima Anugerah Khas Bakat Muda Cemerlang pada pertandingan berkenaan.

Kejayaan itu dilengkapkan menerusi persembahannya di Weill Recital Hall, Carnegie Hall pada 11 Julai lalu, apabila Taylor berkongsi pentas bersama bakat muda dari seluruh dunia.

Taylor berkata, peluang berdiri di pentas berprestij tersebut merupakan satu pengalaman yang amat bermakna, selain berbesar hati kerana dapat mewakili Sarawak dan Malaysia.

“Berdiri di pentas Carnegie Hall di New York terasa seperti impian yang menjadi kenyataan. Sebagai satu-satunya peserta dari Sarawak dalam pertandingan ini, saya amat berbesar hati dapat mewakili Sarawak dan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah atas sokongan yang diberikan bagi merealisasikan penyertaannya ke pertandingan berkenaan.

Taylor turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih vokalnya, Sabrina Tnay atas bimbingan dan dedikasi sepanjang persediaannya, selain mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, keluarga serta semua pihak yang sentiasa menyokong perjalanan muziknya.

“Daripada seorang kanak-kanak kecil di Kuching hingga ke pentas Carnegie Hall, impian benar-benar boleh menjadi kenyataan,” katanya.

Sebelum kejayaan terbaharu itu, Taylor telah mencipta pelbagai pencapaian antarabangsa termasuk meraih pingat emas dan gelaran juara kategori pada World Championships of Performing Arts (WCOPA), menerima pengiktirafan khas pada Sanremo Junior World Finals di Itali, selain memenangi beberapa pertandingan muzik antarabangsa di Asia dan Eropah.

Kejayaan di New York itu sekali gus mengukuhkan Taylor sebagai antara bakat vokal muda Sarawak yang semakin menyerlah di peringkat antarabangsa.

Oleh Adele Rissa