KUCHING: Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap individu mahupun pengusaha premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), khususnya di daerah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, Supritendan Merbin Lisa memberitahu, pemeriksaan pematuhan SOP PKPB ini dipergiatkan setiap hari bagi membendung penularan jangkitan wabak Covid-19.
“Baru-baru ini satu serbuan dan pemeriksaan ke atas pusat hiburan telah dibuat oleh Task Force Pematuhan Ops Covid yang diketuai oleh Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha dari Bahagian Jenayah Komersial bersama sepasukan anggota polis IPD Kuching kerana didapati beroperasi lebih masa.
“Serbuan telah dilakukan ke atas sebuah premis Bistro di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, pada malam Ahad, lebih kurang 10.45 malam dan semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan umur 20 – 37 tahun telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21A (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pindaan 2021, kerana berada di dalam premis melebihi masa yang ditetapkan (melanggar SOP).
Mereka yg diambil tindakan terdiri daripada pekerja dan juga pelanggan premis berkenaan. Kesemuanya kemudian dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan kompaun,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Merbin memberi amaran keras kepada semua pemilik premis pusat hiburan dan makanan yang dibenarkan beroperasi agar sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan mengamalkan penjarakan sosial di dalam premis.
“Tindakan kompaun akan diambil jika gagal mematuhi SOP dan penjarakan sosial di dalam premis khasnya.
“Pihak IPD Kuching tidak akan teragak-agak untuk menghantar senarai nama premis yang gagal mematuhi SOP ini kepada pihak berkuasa tempatan untuk ditarik balik kelulusan kebenaran beroperasi jika didapati ada pelanggaran SOP.
“Selain itu, tiada lagi pemeriksaan berkala dilakukan, sebaliknya pemeriksaan menyeluruh siang atau malam akan diadakan dengan mengerakkan Elemen Team atau Pasukan Petugas Khas Pematuhan SOP PKPB,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA