Azalina tinjau persiapan pejabat AIAC Sarawak

Facebook
WhatsApp
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika meninjau persiapan Pejabat Cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Sarawak di Muzium Tekstil Sarawak, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said meninjau persiapan pembukaan Pejabat Cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Sarawak menerusi lawatan tapak di Muzium Tekstil Sarawak, di sini, hari ini.

Lawatan itu bertujuan meneliti keadaan premis serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan bangunan berkenaan sesuai digunakan untuk operasi cawangan tersebut.

AIAC menyediakan perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif, termasuk timbang tara dan mediasi, sebagai pilihan kepada pihak yang ingin menyelesaikan pertikaian tanpa melalui prosiding mahkamah biasa.

Kehadiran cawangan AIAC di Sarawak dijangka memudahkan akses kepada perkhidmatan itu, khususnya bagi pertikaian berkaitan urusan komersial, kontrak pembinaan dan pelaburan.

Turut menyertai lawatan itu ialah Presiden Mahkamah Timbang Tara AIAC, Dato’ Mary Lim Thiam Suan, Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Danesh Chandran serta wakil Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud