
MIRI: Kegiatan menyimpan puluhan tan produk daging khinzir sejuk beku tanpa permit di sebuah gudang di sini terbongkar selepas diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Taring Chiller, malam semalam.
Dalam serbuan kira-kira 8.00 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun diberkas, manakala pelbagai produk daging khinzir sejuk beku bernilai RM6.2 juta dirampas.
Operasi bersepadu itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar ( WCB) di bawah Perisikan Siasatan Khas (PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri.
Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dilakukan hasil risikan terhadap sebuah premis yang dipercayai dijadikan gudang penyimpanan pelbagai jenis makanan sejuk beku.
“Hasil pemeriksaan menemukan lebih 61 tan produk daging khinzir sejuk beku membabitkan usus besar, loin, bahagian perut dan bahu.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM6,197,060,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati produk terbabit disyaki diimport tanpa permit dan kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan 9(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Katanya, pihak berkuasa turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 mengikut ordinan sama.
Mohd. Yusri berkata, operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan PDRM membanteras penyimpanan makanan sejuk beku yang tidak diketahui status halalnya serta pengedaran produk makanan yang tidak sah.
Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lalu, WCB di bawah PSK, JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 201 serbuan di seluruh negara dengan penahanan 375 individu membabitkan pelbagai kesalahan penyeludupan.
“Sepanjang tempoh itu, nilai keseluruhan rampasan direkodkan dianggarkan sebanyak RM264.86 juta,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling