
LAWAS: Seorang mangsa kerugian RM2,250 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dalam urus niaga tempahan anak ayam penelur secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7 Julai 2026, kira-kira 10.43 pagi.
Menurut beliau, mangsa memaklumkan telah membuat tempahan anak ayam penelur daripada sebuah syarikat melalui platform e-dagang pada 26 Januari 2026.
“Mangsa turut membuat beberapa pembayaran menerusi transaksi perbankan kepada syarikat berkenaan bagi melengkapkan urusan tempahan.
“Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi penjual dan percaya telah ditipu dalam urus niaga tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,250.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan masih diteruskan.