
PADAWAN: Seorang lelaki yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah ditahan selepas cuba melarikan diri daripada polis ketika rondaan cegah jenayah di Siburan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William berkata, suspek ditahan kira-kira 12.50 tengah hari di belakang bangunan sebuah pasar raya.
Menurutnya, anggota Unit Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Siburan mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang membuka pintu gulung aluminium sebuah bangunan kedai.
“Apabila menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek melarikan diri. Anggota bertindak mengejar dan berjaya menahan seorang daripada mereka, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri,” katanya.
Suspek yang berjaya ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dan tidak bekerja.
Barry berkata, semakan menerusi sistem MCAD polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik.
Tiada sebarang rampasan dibuat dalam tangkapan tersebut.
Beliau berkata, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan telah dimaklumkan mengenai tangkapan itu.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Sentosa untuk tindakan lanjut sebelum ditempatkan di lokap Balai Polis Tabuan Jaya bagi membantu siasatan.