
KUCHING: Seramai 86 warga asing ditahan dalam Ops Sapu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak menerusi operasi penguatkuasaan di sekitar Sebuyau dan Simunjan semalam.
Operasi bermula dari 8.00 malam hingga 7.00 pagi tadi itu melibatkan pemeriksaan di tiga lokasi rumah pekerja di Sebuyau serta rumah kongsi di sebuah ladang kelapa sawit di Simunjan.
JIM Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan operasi tersebut dijalankan susulan aduan awam dan hasil risikan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuching yang menyasarkan penempatan pekerja warga asing disyaki melanggar undang-undang imigresen.

Sepanjang operasi, seramai 93 Orang Yang Diperiksa (OYDP) telah diperiksa, dengan 86 daripadanya ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Selain itu, satu saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan kes.
Menurut kenyataan itu, JIM Sarawak akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negeri bagi mengesan dan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Orang ramai turut digesa supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi membantu pihak berkuasa memelihara keselamatan serta kedaulatan negara.