
BINTANGOR: Operasi Tapis yang dilaksanakan Pasukan Petugas (Task Force) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong berjaya menahan tiga lelaki yang disahkan positif dadah dalam serbuan pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, ketiga-tiga suspek berusia 18, 36 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira 5.50 petang ketika pasukan berkenaan menjalankan operasi membanteras penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
“Polis IPD Meradong memandang serius penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan berkaitan dadah.
“Kami menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
Oleh Earl Anek