
SEBELUM pembentukan Malaysia, nama seniman agung P. Ramlee sememangnya tidak asing lagi di Sarawak. Penduduk tempatan amat mengagumi lakonan dan nyanyian beliau, malah pawagam-pawagam di Sarawak sentiasa dipenuhi penonton setiap kali filem seniman ini ditayangkan.
Rentetan daripada cadangan pembentukan Malaysia pada ketika itu, P. Ramlee telah dijemput untuk menjayakan sebuah program persembahan yang dinamakan Aneka Hiburan Rakyat.
Acara yang berlangsung selama enam malam bermula pada 30 Jun 1962 ini diadakan di Padang Madrasah Melayu, Kuching. Selain P. Ramlee, beberapa artis lain dari Tanah Melayu turut dijemput bagi memeriahkan program tersebut.
Menariknya, acara hiburan ini bukan sekadar santuan seni, malah ia bertujuan untuk mengutip sumbangan bagi membiayai projek pembinaan sebuah sekolah rakyat. Kutipan dana yang disasarkan itu untuk menampung keseluruhan kos prasarana pendidikan berkenaan demi manfaat anak bangsa di Sarawak.
Jemputan
Selain P. Ramlee, artis terkenal yang dijemput adalah Salmah Ismail, atau lebih dikenali sebagai Saloma, yang juga merupakan isteri kepada P. Ramlee. Turut mengiringi pasangan tersebut dalam acara hiburan berkenaan ialah pelawak terkenal Tanah Melayu ketika itu, iaitu Aziz Satar dan Ibrahim Pendek.
Pelbagai pengisian menarik telah diatur sepanjang Aneka Hiburan Rakyat tersebut, merangkumi persembahan nyanyian, lakonan, lawak jenaka dan tarian kebudayaan.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan pelibatan para pelajar sekolah yang mengambil bahagian dalam acara koir (nyanyian beramai-ramai) dan tarian kelompok. Tidak ketinggalan, barisan penyanyi tempatan Sarawak juga diberi peluang untuk mendendangkan lagu, sekali gus menyatukan bakat artis Tanah Melayu dan anak seni tempatan dalam pesta amal berkenaan.
Pertandingan
Aneka Hiburan Rakyat ini juga memberi peluang kepada penduduk Sarawak untuk mengasah bakat mereka masing-masing dalam acara hiburan. Dalam hal ini tiga kategori diperkenalkan untuk peserta-peserta yang ingin menyumbangkan bakat mereka.
Katergori pertama adalah khas untuk penyanyi lelaki dan kategori ini dikenali sebagai Kejohanan Bintang P. Ramlee. Bagi kategori ini mereka memilih tiga lagu utama iaitu Jeritan Batinku, Jangan Tinggal Daku dan Dimana Nak Ku Cari Ganti.
Peserta wanita pula menyertai Kategori Bintang Saloma. Bagi peserta wanita ini, lagu khas diberikan adalah Seri Sarawak, Biar Ku Pergi dan Embun Menitik.
Kategori terakhir satu kategori yang unik kerana peserta akan menyanyi bersama-sama dengan P. RamLee dan Saloma. Oleh kerana itu kategori ini dinamakan Kejohanan Nyanyian Bersama-sama P. Ramlee dan Saloma. Lagu-lagu yang diberikan termasuk Burung Kenari, Malam Ku Bermimpi dan Gelora.
Selain persembahan pentas, satu slot interaktif yang unik dinamakan “Berceramah dengan P. Ramlee” turut diadakan secara langsung di atas pentas, menyerupai konsep audio siar (podcast) pada zaman moden ini.
Menariknya, penyertaan bagi slot pertandingan dalam sesi ini bukanlah berdasarkan permohonan awal, sebaliknya pemilihan dibuat secara rawak melalui cabut undi dalam kalangan pengunjung yang hadir ke Aneka Hiburan Rakyat.
Lebih istimewa lagi, seniman agung P. Ramlee bersama isterinya, Saloma, bertindak sebagai juri bagi menilai tiga kategori terawal yang dipertandingkan dalam sesi tersebut.
Jawatankuasa
Kesudian seniman agung P. Ramlee dan isterinya, seniwati Saloma, untuk menyertai acara Aneka Hiburan Rakyat ini telah disambut baik oleh Setiausaha Jawatankuasa program, Jali Hasan.
Beliau bersama-sama Ridzwan Mohd (salah seorang ahli jawatankuasa) melahirkan keyakinan tinggi bahawa kehadiran dua figura tersohor Tanah Melayu itu, bersama barisan pelawak yang dibawakan, mampu menarik kehadiran orang ramai dalam jumlah yang besar untuk membanjiri pesta hiburan amal tersebut.
Jali juga percaya bahawa penduduk Kuching berasa terharu dan gembira dengan kehadiran seniman dan seniwati ini dengan lebih dekat. Jali merasakan bahawa peserta-peserta yang hadir akan dapat melakukan derma dalam pembinaan bangunan sekolah tersebut.
Beliau menambah bahawa mereka memerlukan kutipan derma sebanyak kira-kira $45,000 yang masih diperlukan untuk tujuan pembinaan bangunan sekolah tersebut.
Jali turut menegaskan bahawa kehadiran kedua-dua anak seni tersebut amat dialu-alukan demi merealisasikan matlamat murni mereka. Beliau menaruh harapan yang tinggi agar publisiti daripada kehadiran P. Ramlee dan Saloma mampu memaksimumkan kutipan derma bagi membiayai pembinaan sebuah sekolah menengah rakyat.
Keperluan prasarana pendidikan ini amat mendesak memandangkan bilangan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat menengah semakin meningkat, selain komitmen untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif demi meningkatkan prestasi akademik mereka.
Apa yang lebih mengagumkan, kedua-dua seniman dan seniwati tersohor ini memenuhi undangan berkenaan secara sukarela tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Dalam hal yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sekolah Rakyat iaitu Abang Marzuki juga mempunyai harapan tinggi dengan kehadiran kedua-dua seniman dan seniwati ini untuk menarik pengunjung bersama-sama menyertai pesta hiburan tersebut.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar kehadiran pengunjung yang ramai dapat mencukupkan sasaran kutipan derma bagi pembinaan sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan mengenai anggaran jumlah dana yang diperlukan. Menurut Abang Mazuki, jumlah sebenar yang disasarkan adalah sebanyak $55,000, iaitu sedikit lebih tinggi berbanding angka yang dinyatakan oleh Jali sebelum ini.
Kusta
Selain mengadakan pertunjukan hiburan tersebut, P. Ramlee bersama-sama rombongannya turut dijemput untuk melawat pesakit kusta di Hospital Raja Brooke, Batu 13, Jalan Penrissen.
Lawatan yang berlangsung pada 7 Julai 1962 itu diserikan lagi dengan acara aneka ragam. Kehadiran artis-artis dari Tanah Melayu ini amat ditunggu-tunggu oleh pesakt-pesakit kusta.
Dalam acara berkenaan, P. Ramlee dan Saloma mendendangkan beberapa buah lagu dengan diiringi oleh Orkestra Puspa Kenchana di bawah pimpinan Marzuki Mohamad. Aziz Satar dan Ibrahim Pendek pula membuat persembahan lawak Jenaka.
Hiburan yang mereka bawakan dalam acara aneka ragam ini amat menggembirakan pesakit-pesakit yang berada di hospital tersebut. Sebagai menghargai persembahan yang dilakukan oleh P. Ramlee dan rombongannya, pesakit-pesakit tersebut telah menghadiahkan sebilah pedang Kayan yang lengkap dengan sarung dan perisai.
Dalam majlis aneka Ragam ini juga P. Ramlee diberi penghormatan untuk berucap. Dalam ucapannya, P. Ramlee telah menzahirkan rasa gembiranya dapat menghiburkan pesakit-pesakit kusta ini. Beliau juga berharap akan kembali semula ke Sarawak.
Tuntasnya kunjungan P. Ramlee dan rombongannya satu pendekatan cukup baik dalam merapatkan hubungan Tanah Melayu dan Sarawak.
Malahan pada ketika itu, gagasan Malaysia sedang rancak dalam proses pembentukan. Oleh yang demikian, kunjungan murni P. Ramlee bersama barisan artis Tanah Melayu ini dilihat amat bertepatan bagi menyuburkan lagi semangat kebersamaan dan rasa kesepaduan dalam kalangan penduduk Sarawak, sekali gus memperkukuh sokongan rakyat tempatan terhadap pembentukan Malaysia.
Dr. Suffian Mansor adalah pemangku Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).