
SIBU: Seramai 11 pemburu buaya berlesen menyertai program taklimat konflik manusia-buaya serta terma dan syarat pemegang lesen pemburu buaya yang dianjurkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini, hari ini.
Program yang dipengerusikan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Perlindungan Sibu itu bertujuan memperkukuh kefahaman pemburu buaya berlesen mengenai pengurusan konflik manusia-buaya, selain memastikan operasi pemburuan dilaksanakan mengikut prosedur, secara selamat dan mematuhi peruntukan undang-undang.
Dalam taklimat tersebut, peserta diberi penerangan mengenai prosedur pengendalian konflik manusia-buaya, tatacara pelaporan tangkapan, tanggungjawab pemegang lesen serta aspek keselamatan semasa operasi.
Mereka turut diingatkan supaya mengamalkan etika penggunaan media sosial bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan salah faham atau persepsi negatif terhadap aktiviti pengurusan buaya.
Taklimat itu turut menjadi platform kepada peserta untuk berkongsi pengalaman di lapangan, mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan berhubung syarat pemegang lesen dan pelaksanaan pengurusan konflik di kawasan masing-masing.
Turut mengikuti sesi tersebut secara dalam talian ialah Timbalan Pengurus Besar (Pemuliharaan) SFC Madahan Kiflie bersama pegawai Unit Pengurusan Buaya serta wakil Bahagian Permit, Pelesenan dan Pendaftaran SFC dari Kuching.
SFC berharap taklimat seumpama ini dapat memperkukuh kerjasama dengan pemburu buaya berlesen dalam memastikan pengurusan konflik manusia-buaya di Sarawak dilaksanakan dengan lebih berkesan, berintegriti dan selaras dengan objektif pemuliharaan hidupan liar.