
KOTA SAMARAHAN: Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus menjadi platform penting dalam memperkasa wanita melalui kemahiran, keusahawanan dan pembangunan kepimpinan.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata program berkenaan bukan sahaja memberi latihan kemahiran kepada peserta, malah turut membuka ruang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui pengkomersialan ilmu yang dipelajari.
“Sejak diperkenalkan, program itu telah membimbing ribuan peserta wanita dengan penglibatan tokoh-tokoh wanita merentasi pelbagai bidang termasuk kepimpinan, ekonomi, teknologi dan kesihatan.

“Melalui Perantis, peserta bukan sahaja diberi kemahiran tetapi juga dilatih untuk memonetisasi apa yang mereka pelajari supaya boleh menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Persatuan Orkid (SARORSO) Kali Ke-3 Tahun 2026 (Perantis) di Unimas, hari ini.
Tambah beliau, program itu turut memperuntukkan geran kepada peserta yang berjaya melalui sesi pitching bagi membolehkan mereka memperluaskan lagi projek masing-masing.
“Usaha itu selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi negara,” jelasnya.

Sementara itu, Penaung SARORSO, Dayang Norjihan berkata program berkenaan memberi makna besar kepada beliau khususnya dalam meneruskan legasi dan amanah yang ditinggalkan oleh ibu beliau Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang juga bekas penaung pertubuhan berkenaan.
“SARORSO yang bermula pada tahun 2018 kini berkembang sebagai platform yang menggabungkan pemuliharaan orkid, pendidikan sains dan penglibatan komuniti.
“Saya melihat tanggungjawab ini sebagai amanah untuk meneruskan legasi yang telah dimulakan dan memperkukuh pembangunan SARORSO ke peringkat seterusnya,” tambahnya.
Jelasnya lagi, pencapaian pelajar termasuk penyertaan ke peringkat antarabangsa seperti Persidangan Orkid Sedunia di Jerman membuktikan potensi besar generasi muda apabila diberi bimbingan dan peluang sewajarnya.
“SARORSO juga berjaya menggabungkan elemen sains, penyelidikan gunaan dan pemuliharaan dalam satu pendekatan holistik yang memberi nilai tambah kepada masyarakat,” ujarnay.
Majlis graduasi berkenaan turut meraikan peserta daripada beberapa program di bawah SARORSO termasuk Program Perantis Kepimpinan Wanita, Projek Komuniti Pemuliharaan Orkid serta program mikropropagasi orkid.
Untuk rekod, SARORSO mula diperkenalkan pada 2018 dengan sokongan dan naungan bekas Penaung Pertama, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha awal pemuliharaan orkid di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah