Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kerajaan Sarawak lulus RM1 juta melalui UNIFOR untuk pembangunan Gereja Saint Basil Batu Kawa
  • Utara
  • WILAYAH

Kerajaan Sarawak lulus RM1 juta melalui UNIFOR untuk pembangunan Gereja Saint Basil Batu Kawa

Utusan Sarawak 16 hours ago
UGGAH merasmikan gimik Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Gereja Saint Basil Batu Kawa di Pusat Ibadat Ekumenikal Kristian, semalam.

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi Fasa 1 2026 kepada Gereja Saint Basil Batu Kawa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi UNIFOR dalam memastikan pembangunan rumah ibadat bukan Islam terus diberi perhatian.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap dana yang disalurkan dimanfaatkan secara berhemah serta digunakan mengikut tujuan asal yang telah diluluskan.

Menurutnya, UNIFOR akan terus memantau penggunaan peruntukan dan pelaksanaan projek bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan seperti yang dirancang serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Sejak 2017 hingga 2026, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM565 juta kepada UNIFOR bagi menyokong 2,640 projek rumah ibadat di seluruh Sarawak,” katanya.

GAMBAR KENANGAN… Tetamu kehormat bergambar bersama pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Gereja Saint Basil Batu Kawa di Pusat Ibadat Ekumenikal Kristian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Gereja Saint Basil Batu Kawa yang berlangsung di Pusat Ibadat Ekumenikal Kristian di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Paderi Gereja Saint Basil Batu Kawa Yang Dihormati Joseph Dusit Ijau serta Temenggong Nelson Kloni Kanang.

Uggah berkata Sarawak merupakan satu-satunya wilayah di Malaysia yang mempunyai sebuah unit khas seperti UNIFOR bagi membantu komuniti bukan Islam, sekali gus menjadi contoh keharmonian agama dan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata Gereja Saint Basil Batu Kawa sebelum ini turut menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM2.45 juta daripada kerajaan negeri, meliputi RM400,000 pada 2017, RM1 juta pada 2020, RM50,000 pada 2021 dan RM1 juta pada 2024.

“Sokongan berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rumah ibadat terus berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti serta mengukuhkan perpaduan masyarakat,” ujarnya.

Pada masa sama, Uggah merakamkan penghargaan kepada pihak gereja atas sumbangan berterusan dalam memupuk keharmonian antara kaum dan agama, selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan belia.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Komuniti Paroki Gereja Saint Basil Batu Kawa sebagai tanda sokongan terhadap usaha gereja itu dalam memperkukuh pembangunan komuniti, perpaduan serta kesejahteraan masyarakat.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Konvensyen Zon Tengah PBB dijangka himpun lebih 3,000 perwakilan di Sibu
Next: Chee Kadir santuni pesakit, sumbang kerusi roda melalui Program Ziarah Kasih

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.