
KOTA SAMARAHAN: Senyuman penuh syukur jelas terukir di wajah pelajar bidang perakaunan, Serenna Ellyshes Keli, 19, apabila dinobatkan sebagai juara sulung Pertandingan Ratu Etnik Dayak Samarahan 2026 selepas menewaskan enam finalis lain pada pertandingan yang berlangsung sempena Pesta Makanan & Kebudayaan Samarahan (SFCF) 2026.
Kejayaannya bukan sekadar menghadiahkan mahkota kemenangan, malah menjadi simbol penghargaan terhadap keindahan warisan budaya Dayak yang dibawa dengan penuh penghayatan di pentas pertandingan.
Serenna memikat barisan juri menerusi persembahan busana The Rising Sun of Kumang, yang diinspirasikan daripada legenda Kumang Batang Rajang, lambang wanita Iban yang anggun, bijaksana, cekal dan berwibawa.

Gabungan rona kuning dan hitam pada busana itu bukan sekadar menyerlahkan keindahan rekaan, malah membawa makna mendalam apabila warna kuning melambangkan kehormatan, keyakinan dan kemakmuran, manakala hitam mencerminkan kekuatan, ketabahan serta keberanian dalam menempuh cabaran kehidupan.
Bagi Serenna, pentas itu bukan hanya medan pertandingan, sebaliknya peluang untuk memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Dayak kepada khalayak lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.
Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi, selempang dan jambangan bunga.
Naib juara dimenangi Claudia Mai Tindit, 27, dari Sri Aman yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi, selempang dan jambangan bunga.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelajar Pengurusan Seni Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Phynterliana Agatha Lambeh Herryson, 21, yang menerima wang tunai RM1,000 berserta trofi, selempang dan jambangan bunga.
Penganjuran sulung pertandingan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Dayak (SDCA) itu bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah membuktikan warisan budaya terus subur apabila diberi ruang untuk diraikan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim bersama isteri, Datin Sharifah Hajar Wan Bujang.
Turut hadir, Pengerusi MPKS Kaunselor Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Setiausaha MPKS Zuraida Idris, Timbalan Pengerusi MPKS Kaunselor Daily Joseph, Pengerusi Pengelola SFCF 2026 Kaunselor Profesor Madya Dr. Sopian Bujang, serta Presiden SDCA Bridgette Astra Donald.
Oleh Afiq Sallehi