KEJOHANAN TANAH LIAT WTA
PEMAIN nombor satu dunia Ashleigh Barty mara ke pusingan ketiga kejohanan gelanggang tanah liat WTA di Charleston semalam sekali gus memenangi enam perlawanan terakhir dalam kemenangan 6-2, 6-1 ke atas Misaki Doi.
Barty dari Australia tiba di Charleston segar daripada kemenangan terbarunya di Terbuka Miami yang berprestij yang mana dia berjaya mempertahankan gelaran WTA beliau buat kali pertama.
Selepas mendapat ‘bye’ dalam pusingan pertama, dia dengan pantas menyesuaikan diri dengan gelanggang tanah liat hijau di Charleston, hanya memerlukan 61 minit untuk menyingkirkan pemain ranking ke-77 Jepun, Doi.
“Ia adalah pemulihan cepat selepas Miami, hanya menjalani latihan selama beberapa jam. Saya hanya dengan jujur berharap saya tidak tersandung dan jatuh.
“Tetapi ia kembali secara semula jadi,” kata Barty, yang tidak bermain di gelanggang tanah liat pun sejak kemenangan Terbuka Perancis 2019.
Ini merupakan satu lagi kemunduran buat pemain pilihan kedua dari Amerika, Sofia Kenin, yang tersingkir dalam tiga set kepada pemain ranking ke-79 dunia, Lauren Davis.
Davis menggunakan gabungan pukulan yang hebat untuk mencatat kemenangan 4-6, 6-3, 6-4 ke atas Kenin yang berada di kedudukan keempat, mencatat kemenangan ketiga dalam karier beliau ke atas lima pemain teratas.
“Saya bergelut sedikit dalam set pertama dengan servis saya, seperti memukul bola terlalu rata. Kemudian saya mula berfikir sedikit. Saya mendapati bahawa dia tidak terlalu menyukai bola tinggi, jadi saya benar-benar memanfaatkannya,” katanya lagi.
Kenin memenangi Terbuka Australia 2020 dan naib juara di Terbuka Perancis 2020 yang dijadualkan semula pada bulan Oktober, tetapi dia telah bergelut sepanjang 2021.
Dia tersingkir dalam pusingan kedua di Terbuka Australia ketika cuba mempertahankan gelaran beliau, kemudian tersingkir awal dalam kejohanan Phillip Island Trophy sebelum menjalani pembedahan usus ketika masih di Australia. – AFP