
KUALA LUMPUR: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bersama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) memperkukuh kerjasama strategik dengan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bagi meningkatkan profesionalisme serta kompetensi pegawai perancang bandar dan desa di Sarawak.
Menurut kenyataan JTS, delegasi JTS diketuai Penolong Pengarah Perancangan, Mohammad Zunica Mohamad Sapiee, manakala MUDeNR diwakili Timbalan Setiausaha Tetap, Wan Sufian Wan Mustapha dan Ketua Bahagian Perancangan Bandar dan Desa, Sri Ratna Dewi Junaidi Sepawi.

Katanya kunjungan hormat ke ibu pejabat MIP itu bertujuan merangka kerjasama lebih proaktif antara agensi kerajaan Sarawak dan badan profesional tersebut, termasuk meningkatkan keahlian korporat MIP dalam kalangan pegawai perancang bandar dan desa bagi memperkukuh kompetensi teknikal selaras dengan standard profesional kebangsaan.
“Selain itu, delegasi Sarawak turut membincangkan usaha memperluaskan akses kepada program latihan, kursus pemantapan profesional serta pengiktirafan kepakaran bagi pegawai perancang di negeri ini di bawah bimbingan MIP.

“Delegasi Sarawak disambut Presiden MIP, Mazrina Abdul Khalid bersama barisan kepimpinan tertinggi pertubuhan itu.
“Kerjasama tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan perancangan bandar dan desa di Sarawak, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri yang mampan dan terancang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.