
BINTULU: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Bintulu terus membuktikan peranannya sebagai platform melahirkan atlet muda berpotensi yang mampu mengharumkan nama bahagian di pentas lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kejohanan itu bukan hanya bertujuan memilih wakil ke peringkat negeri, malah menjadi medan membina jati diri, disiplin serta semangat daya saing dalam kalangan murid.
“Setiap penyertaan memberi pengalaman berharga kepada atlet untuk belajar menerima kemenangan dan kekalahan dengan sikap positif,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Bintulu Kali Ke-23 di Stadium Bintulu di sini, hari ini.
Johnny Pang berkata, atlet yang berjaya dipilih ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak di Samarahan perlu memanfaatkan peluang itu dengan memberikan aksi terbaik demi meneruskan kecemerlangan Bahagian Bintulu

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, kejohanan kali ini menyaksikan beberapa rekod baharu berjaya dipecahkan, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi atlet sekolah rendah di bahagian berkenaan.
Katanya, Bahagian Bintulu turut mengekalkan reputasi sebagai antara kontinjen terbaik di Sarawak apabila konsisten berada dalam kelompok tiga terbaik pada Kejohanan MSS Sarawak sejak 2022.
Beliau berkata, kejayaan sebenar bukan hanya bergantung kepada kedudukan, sebaliknya diukur melalui peningkatan prestasi diri dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua guru, jurulatih, pegawai teknikal, hakim dan jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan kejohanan,
Selain itu, Samri juga menghargai sokongan berterusan Johnny terhadap pembangunan pendidikan dan sukan di Bintulu, termasuk peruntukan hampir RM12 juta bagi pembangunan sekolah dan kemudahan pendidikan sejak beberapa tahun lalu.
Oleh Carolyne Utih