
KUCHING: Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen menyalurkan peruntukan sebanyak RM39,550 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang bagi menaik taraf kemudahan dan prasarana sekolah tersebut.
Yii berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan di kantin sekolah yang kini kekurangan kipas berkuasa tinggi, menyebabkan kawasan tersebut panas dan kurang selesa, terutama ketika waktu rehat.
Katanya, pihak sekolah akan membeli lima unit kipas dinding industri jenis 26 LSE kipas dinding industri bagi meningkatkan pengudaraan dan menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada pelajar serta warga sekolah.
Selain itu, sebahagian daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk membeli empat unit televisyen pintar lengkap dengan sistem sokongan bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta memudahkan urusan mesyuarat rasmi.
Yii berharap kemudahan yang dinaik taraf itu akan meningkatkan keselesaan warga sekolah, memperkukuhkan pelaksanaan pembelajaran abad ke 21 serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Beliau turut memaklumkan bahawa pentas di Dewan Seri Lintang mengalami kerosakan teruk sejak 2023 sehingga menimbulkan risiko keselamatan dan tidak lagi selamat digunakan.
Katanya, peruntukan sebanyak RM106,600 telah disalurkan tahun lalu bagi kerja pembaikan dan naik taraf Dewan Seri Lintang, dan projek tersebut kini telah siap sepenuhnya, sekali gus membolehkan dewan itu digunakan semula.
Oleh Connie Chieng