
BAU: Polis mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan kenderaan perdagangan di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Katanya, operasi berlangsung dari 2.30 petang hingga 4.00 petang di Jalan Bau-Serikin dan Jalan Bau-Lundu.

“Hasil operasi, sebanyak 35 kenderaan diperiksa, terdiri daripada tujuh motosikal, 13 kereta, lima kenderaan pacuan empat roda atau pikap, serta 10 lori.
“Seramai 45 individu turut diperiksa, membabitkan 23 lelaki dan 22 wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, enam saman dikeluarkan menggunakan Borang PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan, termasuk gagal memakai tali pinggang keledar, mengubah suai ekzos, memandu tanpa lesen, serta membawa muatan berbahaya atau muatan yang tidak diikat dengan selamat.
Mohd Haide berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan.
Oleh Connie Chieng