
KOTA SAMARAHAN: Padah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata tajam minggu lalu, dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Samarahan, di sini hari ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak berkata, kedua-dua tertuduh yang berusia 29 dan 35 tahun itu dihadapkan ke muka pengadilan atas pertuduhan melakukan jenayah berkenaan bersama seorang lagi rakan sejenayah mereka yang kini masih bebas.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata iaitu parang panjang dan sebatang besi ketika kejadian.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan terhadap mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Sadong Jaya.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 21 Jun lalu kira-kira 9.30 malam.
Pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datu Abdul Razak Tready.
Sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan fakta kes, mahkamah menetapkan mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan setiap seorang bermula dari tarikh hukuman pada hari ini.
Kedua-dua tertuduh diperintah menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo.
Sementara itu, pihak polis menegaskan bahawa usaha mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas kini sedang giat dijalankan bagi memastikan kesemua dalang kes rompakan bersenjata ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Oleh Adi Safarman