Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • England waspada ancaman Congo, AS sedia hadapi detik terbesar Piala Dunia
  • SUKAN

England waspada ancaman Congo, AS sedia hadapi detik terbesar Piala Dunia

Utusan Sarawak 3 hours ago
HARRY Kane dijangka perlu terus meledak gol jika England mahu meneruskan kemaraan lebih jauh dalam Piala Dunia 2026. — Foto AFP

LOS ANGELES: England berdepan cabaran sukar berdepan Republik Demokratik (DR) Congo dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia tengah malam ini (waktu Malaysia), manakala tuan rumah bersama Amerika Syarikat (AS) bersedia mengharungi perlawanan yang dianggap terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu.

Dua kuasa besar Eropah sudah pun tersingkir apabila Jerman dan Belanda tewas menerusi penentuan penalti kepada Paraguay serta Maghribi pada pusingan 32 terbaik, dan England tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.

The Three Lions memburu trofi utama pertama dalam tempoh 60 tahun, namun pengendali mereka, Thomas Tuchel, mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah DR Congo yang akan turun tanpa sebarang tekanan di Atlanta.

“Saya rasa ia satu keistimewaan berada dalam situasi ini. Kami menerima hakikat bahawa kami adalah pasukan pilihan menentang DR Congo,” katanya.

JURULATIH Didier Deschamps meraikan jaringan Kylian Mbappé ketika Perancis menewaskan Sweden dalam aksi Piala Dunia 2026. — Foto AFP

Namun, jurulatih dari Jerman itu mengingatkan bahawa semua perlawanan pusingan 32 terbaik setakat ini membuktikan jurang antara pasukan amat tipis.

England dijangka bergantung kepada sentuhan dua tonggaknya, Jude Bellingham dan Harry Kane, namun pertahanan berpengaruh Reece James terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

DR Congo pula menghimpunkan ramai pemain berdarah Congo yang dilahirkan di luar negara. Daripada 26 pemain dalam skuad, seramai 20 dilahirkan di luar Congo, kebanyakannya di Perancis.

Penyerang Yoane Wissa, yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, antara pemain yang cukup dikenali lawan mereka.

Turut berada dalam skuad ialah pertahanan Aaron Wan-Bissaka, yang dilahirkan di London dan pernah mewakili England di peringkat bawah 21 tahun, selain Axel Tuanzebe, yang juga pernah menyarung jersi skuad remaja England.

Jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre, menegaskan tekanan sebenar berada di bahu England.

“Piala Dunia kami sudah pun dianggap berjaya berdasarkan sasaran yang ditetapkan. Tekanan kini berada di pihak England,” katanya.

Sementara itu, AS dijangka menjadi tumpuan apabila sehingga 30 juta penonton diramal mengikuti aksi menentang Bosnia-Herzegovina di Bay Area, San Francisco.

Kapten Christian Pulisic dan rakan sepasukan berpeluang menghadiahkan kemenangan pertama negara itu dalam pusingan kalah mati Piala Dunia selepas hampir 25 tahun.

Pemain tengah Gio Reyna berkata mereka sedar kejayaan mara jauh mampu memberi impak besar kepada perkembangan bola sepak di negara itu.

“Semua orang tahu apa maknanya kepada negara ini. Kami merasakan seluruh negara memberi sokongan kepada kami.

“Jika kami mampu melakar perjalanan yang hebat dalam kejohanan ini, ia boleh membawa perubahan besar kepada bola sepak di Amerika,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, Belgium yang masih bergantung kepada generasi emas diketuai Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku bakal berdepan ujian getir menentang Senegal di Seattle.

Awal pagi tadi, Kylian Mbappé meledak dua gol ketika Perancis menewaskan Sweden 3-0, sekali gus menjadikan koleksi jaringannya meningkat kepada enam gol dalam kejohanan.

Selepas menjaringkan gol, Mbappe bersama rakan sepasukan berlari memeluk jurulatih Didier Deschamps sebagai tanda sokongan selepas ibunya meninggal dunia bulan lalu.

“Ia menggambarkan semangat pasukan ini. Kami sentiasa bersama. Kami tahu jurulatih melalui detik yang sukar dan semua orang pasti akan merasainya suatu hari nanti,” kata Mbappe.

Dalam satu lagi aksi, Erling Haaland menjaringkan gol kemenangan ketika Norway menewaskan Ivory Coast 2-1 untuk mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah. — AFP

Continue Reading

Previous: Dua kali kandas, jurulatih Mexico Aguirre lega lepasi pusingan 32 Piala Dunia
Next: Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026: Sasaran 2,000 peserta, hadiah utama Proton e.MAS 5 menanti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.