
LAWAS: Seorang pemandu lelaki tersepit, manakala dua lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Belunat, Jalan Trusan, di sini, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.58 malam.
Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Jentera Penyelamat Kebakaran Ringan (LFRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan dan empat mangsa.
Seorang lelaki dewasa didapati selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu pemandu lelaki didapati tersepit di dalam kenderaan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.
Kedua-dua mangsa yang cedera serta lelaki yang tersepit telah dihantar ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Oleh Adeng Edrus