
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan semakan Geran Khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, sambil menegaskan rakyat negeri ini mahukan tindakan, bukan rundingan yang berpanjangan.
Beliau mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyemak kadar Geran Khas Sarawak susulan peningkatan Geran Khas Sabah kepada RM1.5 bilion.
Menurutnya, pengiktirafan terhadap hak Sarawak merupakan perkembangan yang positif, namun rakyat kini menantikan pelaksanaan yang nyata.
“Pengiktirafan terhadap kedudukan Sarawak sememangnya dialu-alukan, namun apa yang diharapkan rakyat sekarang ialah pelaksanaan. Tanggungjawab yang termaktub dalam Perlembagaan mesti ditunaikan tanpa kelewatan kerana hak Sarawak tidak boleh terus menjadi subjek rundingan yang tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yap berkata, beliau sentiasa berdiri teguh bersama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mempertahankan hak-hak Sarawak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Kota Sentosa, beliau konsisten menyuarakan kepentingan hak perlembagaan, kepentingan fiskal dan keutamaan pembangunan Sarawak kerana ia melibatkan soal keadilan, kesaksamaan serta kedudukan perlembagaan negeri dalam Persekutuan.
Menurut beliau, GPS telah membuktikan bahawa kepimpinan yang tegas, membina dan bersatu mampu menghasilkan pelbagai kejayaan, termasuk pemindahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak serta komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyemak Geran Khas Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan mempercepatkan rundingan dengan kerajaan Sarawak supaya kadar Geran Khas yang disemak dapat dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan akan datang.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, supaya diwujudkan formula yang telus, adil dan mampan bagi menentukan Geran Khas Sarawak agar ia mencerminkan sumbangan besar negeri ini kepada ekonomi negara serta menepati semangat MA63.
Menurut Yap, Geran Khas yang lebih adil akan membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan, termasuk menaik taraf jalan utama, menambah baik sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir, membaik pulih sekolah daif, memperkukuh kemudahan kesihatan awam serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur.
Beliau menegaskan semakan Geran Khas itu bukan satu ihsan daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, memandangkan sumbangan besar Sarawak kepada negara melalui sektor minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui serta kekuatan ekonominya.
Yap berkata, beliau akan terus menjadi suara yang konsisten dalam mempertahankan hak perlembagaan Sarawak di samping bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak bagi memastikan rakyat negeri ini menerima manfaat yang sewajarnya.
Oleh Connie Chieng