
BINTANGOR: Golongan belia digesa agar terus memainkan peranan sebagai pewaris budaya masyarakat Iban di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif dan bersatu padu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penglibatan aktif belia dalam program kemasyarakatan dan kebudayaan amat penting bagi memastikan adat resam serta warisan masyarakat Iban terus dipelihara.
“Ngiling Bidai merupakan satu upacara masyarakat Iban yang menandakan penutupan sambutan Hari Gawai Dayak.
“Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan untuk memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Iban, malah menjadi ruang untuk kita bersama-sama menghargai adat dan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya.

Koung Hiing yang juga Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Meradong berkata demikian ketika berucap merasmikan program Ngiling Bidai anjuran Saberkas Cawangan Meradong di Dewan Masyarakat Meradong, baru-baru ini.
Katanya, program tersebut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat, ahli Saberkas dan golongan belia melalui penglibatan dalam aktiviti yang berteraskan budaya.
“Semangat kerjasama, perpaduan dan kebersamaan yang dipupuk menerusi program ini mampu memperkukuh keharmonian komuniti serta menyemarakkan semangat cintakan warisan budaya.
“Saya berharap program seumpama ini akan terus menarik penyertaan golongan belia kerana mereka merupakan pewaris yang akan meneruskan usaha memelihara budaya dan membangunkan komuniti pada masa hadapan.
“Penglibatan generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja memastikan warisan budaya terus lestari, malah membantu melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab, berdaya saing dan mempunyai semangat kesukarelawanan,’ katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, ahli-ahli Saberkas dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
“Kerjasama dan komitmen yang diberikan amat saya hargai,” katanya.
Turut hadir ialah Ting Kai Siang selaku wakil Pegawai Daerah Meradong; Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Dominir Amor; Pemanca Agan Luat dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek