
PETRA JAYA: Festival Muzik Borderland 2026 yang bakal berlangsung pada 11 dan 12 September ini di Kampung Budaya Sarawak dijangka menarik 21,000 pengunjung serta menjana impak ekonomi langsung sebanyak RM8 juta kepada negeri ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pelancongan muzik serantau.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu membuktikan Festival Muzik Borderland bukan lagi sekadar acara hiburan, sebaliknya telah menjadi antara pemacu utama industri pelancongan dan ekonomi kreatif negeri.
Menurut beliau, sepanjang tiga penganjuran terdahulu, festival berkenaan telah menarik lebih 33,000 pengunjung dan menjana kira-kira RM10.3 juta impak ekonomi langsung menerusi perbelanjaan dalam sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti pelancongan.
“Festival seperti Borderland membuka peluang kepada perniagaan tempatan, pengusaha makanan, penyedia penginapan, pengendali pengangkutan serta pelbagai pihak lain untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan industri pelancongan.
“Ia juga selari dengan visi Sarawak untuk menjadi destinasi yang meraikan kreativiti moden tanpa mengabaikan kekayaan warisan budaya Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Festival Muzik Borderland 2026 di sini, hari ini.
Festival yang memasuki edisi keempat itu akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dengan menampilkan lebih 40 artis tempatan dan antarabangsa, termasuk KSHMR, Ben Nicky, Blasterjaxx, Arcando, DNA (Mister Aloy & JayJax), Juelz serta RAMENGVRL bersama Indahkus, Dia dan Kenz.
Selain persembahan muzik elektronik bertaraf antarabangsa, edisi tahun ini turut memperkenalkan bengkel budaya tradisional buat julung kalinya serta memperluaskan penyertaan pengusaha seni dan kraf tempatan sebagai usaha memperkukuh identiti budaya Borneo.
Sementara itu, Pengasas Festival Muzik Borderland, Tiger Ming berkata, festival berkenaan diwujudkan dengan aspirasi untuk meletakkan Sarawak sebagai antara hab utama muzik elektronik di Asia Tenggara, di samping memperkenalkan budaya Borneo ke pentas antarabangsa.

Katanya, sambutan awal terhadap penganjuran tahun ini amat menggalakkan apabila lebih 50 peratus tiket telah terjual walaupun penganjuran masih berbaki lebih dua bulan, manakala penginapan di sekitar Santubong dilaporkan habis ditempah sejurus tarikh festival diumumkan pada April lalu.
Beliau berkata, penganjur turut merancang menganjurkan dua acara muzik di Kuching dan Miri menjelang penghujung tahun ini sebelum memperluaskan penganjuran kepada empat acara pada 2027.
“Borderland juga menyediakan platform penting kepada DJ, penghibur dan penggiat industri kreatif tempatan untuk berkongsi pentas bersama artis antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang ke peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, Festival Muzik Borderland kini bukan lagi sekadar festival muzik, sebaliknya berkembang sebagai platform pelancongan dan budaya yang mengangkat identiti Borneo ke peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh ekonomi negeri.
Oleh Norman B