LONDON, United Kingdom, 5 November: Pembikin filem epik pecah panggung India yang diadaptasi daripada epik Hindu purba, Ramayana, menyifatkan karya terbaharu itu sebagai gabungan luar biasa bakat tempatan dan Hollywood, sekali gus menggelarnya sebagai filem India pertama yang benar-benar menembusi pasaran global.
Filem “Ramayana: Rise of a Legend” yang mula ditayangkan di pawagam seluruh dunia mengambil masa lebih sedekad untuk disiapkan, dengan jumlah kos penerbitan yang dilaporkan mencecah AS$420 juta.
Filem itu menghimpunkan bakat pemenang Anugerah Oscar dalam bidang kesan visual dan muzik, selain dibintangi barisan pelakon terkenal yang merupakan antara nama besar dalam industri perfileman India.
“Orang dari seluruh dunia datang untuk menjayakan projek ini,” kata bintang terkenal Bollywood, Ranbir Kapoor, kepada AFP di London sebelum tayangan filem itu.

Foto AFP
“Jadi, kami benar-benar mempunyai platform untuk menzahirkan kreativiti dengan sebaik-baiknya.”
Diilhamkan daripada epik Sanskrit yang berusia ribuan tahun dan menjadi antara teks asas agama Hindu, filem itu mengisahkan perjuangan Rama (Kapoor), seorang tokoh yang menjunjung nilai kebaikan, untuk menyelamatkan isterinya, Sita, yang diculik oleh raja syaitan jahat, Ravana, lakonan pelakon popular Yash yang menggunakan satu nama sahaja.
Adaptasi terbaharu kisah itu menampilkan gajah terbang dan makhluk syaitan gergasi, selain sarat dengan kesan visual janaan komputer yang dikenali dalam industri perfileman sebagai VFX.
Idea asal filem itu dicetuskan oleh penerbit Namit Malhotra, yang syarikat kesan visualnya, DNEG, beribu pejabat di United Kingdom dan pernah memenangi lapan Anugerah Akademi menerusi hasil kerja dalam filem termasuk “Inception” dan “Dune”.

Filem yang diterbitkan dalam versi bahasa Hindi dan Inggeris itu menampilkan muzik gubahan komposer pemenang Oscar, Hans Zimmer dan A.R. Rahman, manakala pengarah aksi serta pereka produksinya turut mempunyai pengalaman luas dalam penerbitan filem Hollywood.
Dirancang sebagai sebuah karya epik dalam dua bahagian, pembikin filem itu percaya penerbitannya bakal menjadi titik penting yang melonjakkan industri perfileman India ke persada dunia, meskipun negara itu masih belum memenangi Oscar dalam kategori utama perfileman.
Benar-benar bercirikan India’ –
“Ini merupakan penerbitan terbesar dalam sejarah perfileman India,” kata Malhotra yang menyifatkan filem itu sebagai “Star Wars” atau “Lord of the Rings” versi India.
“Kisah, skala dan kehebatan visualnya merupakan sesuatu yang saya percaya mampu menarik perhatian penonton seluruh dunia.”
Sekian lama didominasi filem komersial berbahasa Hindi menerusi Bollywood, industri perfileman India menghasilkan kira-kira 2,000 filem setiap tahun dan terus memperluas pengaruhnya di peringkat antarabangsa.

Perkembangan itu sebahagiannya didorong oleh jaringan diaspora India yang kukuh serta peningkatan akses kepada kandungan Bollywood menerusi platform penstriman seperti Netflix dan Amazon Prime Video.
Dengan versi bahasa Inggeris, penggunaan kesan khas Hollywood serta babak pertempuran berskala epik, “Ramayana” dilihat menyasarkan penonton antarabangsa selain peminat filem di India yang mempunyai populasi 1.4 bilion orang.
Diterbitkan oleh Prime Focus Studios yang berpangkalan di Mumbai milik Malhotra dan syarikat Monster Mind Creations milik pelakon Yash, dengan Sony Pictures sebagai pengedar antarabangsa, filem itu mengetepikan beberapa ciri tradisional Bollywood, khususnya babak nyanyian dan tarian yang panjang.
Bagaimanapun, kebanyakan elemen utama Bollywood seperti melodrama, percintaan dan aksi, selain pemandangan yang mengagumkan serta durasi hampir tiga jam bagi versi bahasa Inggeris, masih dikekalkan.
“Ia merupakan penceritaan yang sangat asli daripada sebuah kisah asal India dan kami tidak membuat sebarang kompromi dalam hal itu. Kami memastikan filem ini kekal dengan identiti asal India,” kata Malhotra.
Yash, figura yang amat popular dalam industri perfileman berbahasa Kannada di India serta penerbit bersama dan pelakon utama “Ramayana”, memberitahu AFP bahawa “Timur dan Barat benar-benar bersatu”.
Beliau berkata, tayangan filem itu yang turut menyasarkan pasaran global merupakan “detik yang amat penting” bagi industri perfileman India. – AFP




