Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Haaland jaringkan gol kemenangan, bawa Norway bertemu Brazil di pusingan 16 terbaik
  • SUKAN

Haaland jaringkan gol kemenangan, bawa Norway bertemu Brazil di pusingan 16 terbaik

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENYERANG Norway, Erling Haaland (tengah), meraikan jaringan kedua pasukannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Ivory Coast di Stadium Dallas, Arlington. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Erling Haaland menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan ketika Norway menewaskan Ivory Coast 2-1 untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sekali gus mengatur pertemuan dengan Brazil di Texas, sebentar tadi.

Penyerang Manchester City itu menyudahkan hantaran dari jarak dekat pada minit ke-86, dengan bola melintasi garisan gol secara perlahan untuk jaringan kelimanya dalam kejohanan ini.

Kemenangan itu turut mencatat sejarah sebagai kemenangan pertama Norway dalam aksi kalah mati di Piala Dunia.

Selepas babak pertama yang seimbang tetapi agak perlahan, Antonio Nusa meletakkan Norway di hadapan enam minit sebelum rehat menerusi antara gol tercantik kejohanan.

Pemain Manchester United, Amad Diallo, dimasukkan selepas sejam permainan dan segera memberi impak apabila menggagalkan peluang gol kedua Norway sebelum menyamakan kedudukan menerusi jaringan menarik pada minit ke-74.

Ketika perlawanan dilihat menuju masa tambahan, Haaland sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila menyempurnakan hantaran lintang Patrick Berg untuk menghadiahkan detik bersejarah kepada Norway.

Norway akan berdepan juara lima kali, Brazil, pada Ahad ini di New Jersey bagi merebut tempat ke suku akhir.

Pertembungan membabitkan dua pasukan yang terkenal dengan corak permainan fizikal itu bermula hambar di stadium moden berbumbung dan berhawa dingin milik Dallas Cowboys.

Ivory Coast memperoleh peluang pertama pada minit ke-20 apabila pertahanan Ghislain Konan mara ke dalam kotak penalti Norway dari sebelah kiri, namun percubaannya hanya mengenai jaring sisi.

ERLING Haaland (kanan) meraikan kemenangan 2-1 Norway bersama rakan sepasukannya, Kristoffer Ajer, selepas perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Ivory Coast di Stadium Dallas, Arlington, Texas, sebentar tadi. Foto AFP

Pemain dan penyokong Ivory Coast berang sejurus sebelum rehat minuman apabila pemain lincah Yan Diomande dijatuhkan ketika melakukan serangan balas di kawasan sendiri.

Pengadil, Jesus Valenzuela, mengejutkan ramai apabila tidak melayangkan kad kepada pertahanan Norway, David Moller Wolfe.

Diomande yang berusia 19 tahun, dan dikatakan hampir menyertai juara Eropah, Paris Saint-Germain, dari RB Leipzig, semakin menyerlah sepanjang permainan.

Pasukan Afrika itu, antara skuad termuda dalam kejohanan, menguasai permainan dan banyak mengancam menerusi gerakan Diomande di bahagian kiri.

Haaland pula kurang menerima bekalan bola, namun sepatutnya mampu melakukan lebih baik apabila tandukannya yang lemah mudah ditangkap penjaga gol, Yahia Fofana.

Norway kemudian menghasilkan detik berkualiti apabila Nusa, menerima hantaran kapten Martin Odegaard, memotong masuk ke tengah sebelum melepaskan rembatan lencong menarik ke penjuru atas gawang.

Odegaard sendiri dilihat memegang kepala tanda kagum terhadap jaringan pemain berusia 21 tahun itu, yang juga rakan sepasukan Diomande di Leipzig.

Anak buah Stale Solbakken menamatkan babak pertama dengan terus memburu gol kedua, namun Haaland dinafikan aksi cemerlang Ibrahim Sangare yang melakukan sekatan saat akhir dan meraikannya seolah-olah menjaringkan gol.

PEMAIN Ivory Coast menunjukkan kekecewaan sebaik tamat perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Norway di Stadium Dallas, Arlington, sebentar tadi. Foto AFP

Ivory Coast, yang mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama, memperoleh sepakan penjuru ke-10 mereka sebaik babak kedua bermula.

Nicolas Pepe hampir menyamakan kedudukan, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland, ketika Ivory Coast terus meningkatkan tekanan.

Norway hampir menggandakan kelebihan apabila Diallo mengeluarkan bola di atas garisan gol selepas situasi sepakan penjuru.

Penyokong Norway yang mula menghidu peluang ke pusingan seterusnya menghidupkan semula sorakan ikonik mereka dengan aksi mendayung di tempat duduk penonton.

Tidak lama kemudian, Diallo memperdayakan dua pemain lawan sebelum melepaskan penyudah hebat untuk menyamakan kedudukan.

Namun, Haaland muncul wira apabila menyudahkan hantaran Berg untuk mematahkan harapan Ivory Coast, sebelum Nyland melakukan satu lagi aksi menyelamat cemerlang menepis sepakan percuma Diallo pada penghujung perlawanan bagi memastikan Norway mara ke pusingan seterusnya. – AFP

Continue Reading

Previous: Jerman pertimbang masa depan Nagelsmann selepas tersingkir awal di Piala Dunia
Next: Olise angkat prestasi Perancis ke tahap lebih tinggi di Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.