Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerja naik taraf Rumah Sarawak tidak jejaskan operasi Majlis Seni Sarawak 
  • TEMPATAN

Kerja naik taraf Rumah Sarawak tidak jejaskan operasi Majlis Seni Sarawak 

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan simbolik perasmian Kalendar Majlis Seni Sarawak (MSS) 2026 di sebuah hotel terkemuka, hari ini. Foto Adele Rissa  

KUCHING: Rumah Sarawak yang menempatkan ibu pejabat Majlis Seni Sarawak (MSS) akan menjalani kerja-kerja naik taraf, dengan operasi badan itu diteruskan seperti biasa di sebuah lokasi sementara sepanjang tempoh pengubahsuaian.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata cadangan baik pulih bangunan bersejarah itu telah menerima maklum balas positif daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, Rumah Sarawak yang sebelum ini merupakan kediaman rasmi Ketua Menteri kini berfungsi sebagai ibu pejabat MSS dan akan melalui proses pemuliharaan serta penambahbaikan.

“Untuk makluman rakan media, Rumah Sarawak yang pernah menjadi kediaman rasmi Ketua Menteri dan kini menempatkan MSS akan dibaik pulih.

“Sepanjang tempoh itu, MSS akan beroperasi di lokasi sementara. Bangunan ini juga merupakan antara bangunan warisan yang terkenal di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis minum petang Majlis Seni Sarawak (MSS) bersama media di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.  

UTUSAN Sarawak menerima sijil penghargaan media pada majlis minum petang Majlis Seni Sarawak (MSS) di sebuah hotel terkemuka hari ini. Foto Nadya Victoria

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian telah mengenal pasti sebuah premis sementara bagi memastikan semua aktiviti MSS dapat diteruskan tanpa gangguan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan program pembangunan bakat, latihan, kelas nyanyian serta pelbagai aktiviti seni lain tidak terhenti walaupun kerja naik taraf sedang dilaksanakan.

“Kita sudah kenal pasti lokasi sementara di bawah kementerian dan kini menunggu kelulusan berkaitan,” tambahnya.

Abdul Karim menegaskan penyediaan kemudahan ibu pejabat untuk MSS mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sektor seni dan budaya negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata persiapan bagi pembinaan Pusat Seni Persembahan Sarawak sedang giat dijalankan, termasuk cadangan mewujudkan struktur pengurusan khusus bagi mengendalikan operasi pusat berkenaan apabila siap kelak.

“Kita mahu pementasan diadakan secara konsisten sama ada mingguan atau bulanan. Justeru, perancangan rapi perlu dilaksanakan supaya pusat ini dapat berfungsi pada tahap optimum,” ujarnya.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Ngiling Bidai simbol penutup Gawai dan perpaduan masyarakat Iban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.