Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia 2026: Perancis kekal dengan corak menyerang berdepan Sweden
  • SUKAN

Piala Dunia 2026: Perancis kekal dengan corak menyerang berdepan Sweden

Utusan Sarawak 4 hours ago
KYLIAN Mbappe. Foto AFP

PARIS: Perancis tidak bercadang mengubah corak permainan menyerang yang membawa mereka mengungguli peringkat kumpulan Piala Dunia 2026, walaupun menyedari kelemahan di benteng pertahanan menjelang aksi pusingan 32 terbaik menentang Sweden, 5.00 pagi esok (waktu Malaysia).

Jurulatih Didier Deschamps menegaskan Les Bleus perlu mengekalkan identiti menyerang mereka, namun pada masa sama mengingatkan pemain supaya terus merendah diri dan tidak memandang mudah lawan yang disifatkannya sebagai pasukan berbahaya.

Perancis mara selaku juara kumpulan dengan kutipan maksimum sembilan mata selepas menjaringkan 10 gol ketika menewaskan Senegal, Iraq dan Norway.

ALEXANDER Isak

Bagaimanapun, pendekatan agresif itu turut membuka ruang kepada lawan mencipta peluang.

“Kami perlu menjaringkan satu gol lebih banyak dan tidak mengorbankan apa yang menjadi kekuatan kami.

“Kami mempunyai keupayaan mencipta bahaya dan menyakiti lawan. Itu kekuatan kami dan saya mahu kami terus mengekalkannya,” kata Deschamps.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya berhati-hati dengan ancaman Sweden yang dianggap tidak mempunyai apa-apa untuk rugi.

PEMAIN Perancis, Ousmane Dembele meraikan gol ketiganya ketika menentang Norway dalam aksi Piala Dunia 2026.

“Kami perlu terus merendah diri serta mengekalkan keazaman dan tumpuan. Di peringkat kumpulan, kemenangan awal memberi sedikit ruang kesilapan, tetapi sekarang tiada peluang kedua,” katanya.

Deschamps turut memuji kekuatan fizikal Sweden, kepantasan serangan balas serta keupayaan mereka menerusi situasi bola mati.

Jurulatih berusia 57 tahun itu kembali menyertai kem latihan Perancis di Boston pada Sabtu selepas pulang ke tanah air untuk menghadiri pengebumian ibunya, sekali gus terlepas aksi kemenangan 4-1 ke atas Norway.

Perancis yang muncul juara dunia 2018 dan naib juara pada edisi 2022 terus dilihat antara calon utama untuk menjulang trofi kali ini.

Jentera serangan mereka yang diketuai Kylian Mbappe bersama Ousmane Dembele dan Michael Olise dianggap antara yang paling berbahaya dalam kejohanan.

Namun, bahagian kiri pertahanan masih menimbulkan persoalan apabila Theo Hernandez gagal memberikan aksi meyakinkan.

Lucas Digne dijangka diturunkan bagi memberikan lebih kestabilan di benteng pertahanan, manakala Bradley Barcola berkemungkinan menggantikan Desire Doue di bahagian kiri serangan.

Perubahan itu dijangka memberikan lebih kepantasan dan keseimbangan ketika berdepan Sweden yang dijangka lebih banyak bertahan dan bergantung kepada serangan balas.

Kembalinya William Saliba di posisi pertahanan tengah turut memberi kelegaan kepada Deschamps.

Sweden pula hadir sebagai pasukan yang sukar dijangka. Mereka menamatkan saingan Kumpulan F di belakang Belanda selepas membelasah Tunisia 5-1, sebelum dibelasah Belanda 5-1 dan seri 1-1 dengan Jepun.

Walaupun tidak dianggap setanding Perancis, Sweden masih memiliki pemain berbahaya seperti Alexander Isak, Viktor Gyokeres dan Anthony Elanga.

Bekas penyerang England, Gary Lineker, bagaimanapun percaya Sweden sukar menandingi kekuatan serangan Perancis.

“Sweden bukan pasukan yang lemah, tetapi mereka tidak setanding kekuatan serangan Perancis.

“Perancis mungkin terdedah kepada serangan balas, tetapi mereka mempunyai kemampuan untuk menjaringkan lebih banyak gol daripada lawan,” katanya. – AFP

Continue Reading

Previous: Gol minit ke-95 Martinelli bawa Brazil ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia
Next: Nagelsmann pertahan jawatan, khabar angin Klopp semakin hangat selepas Jerman tersingkir mengejut

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.