Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Gol minit ke-95 Martinelli bawa Brazil ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia
  • SUKAN

Gol minit ke-95 Martinelli bawa Brazil ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia

Utusan Sarawak 5 hours ago
PEMAIN Brazil meraikan kemenangan ketika pemain Jepun kecewa selepas perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 antara Brazil dan Jepun di Stadium Houston, Houston, sebentar tadi. Foto AFP

HOUSTON: Gol dramatik pemain gantian Gabriel Martinelli pada masa kecederaan menyaksikan Brazil menewaskan Jepun 2-1 pada aksi pusingan kalah mati, sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia, sebentar tadi.

Pemain sayap Arsenal itu meledak gol kemenangan pada minit ke-95 di Houston, sekali gus mematahkan harapan Jepun dalam penamat yang penuh dramatik.

Juara dunia lima kali itu akan berdepan sama ada Ivory Coast atau Norway di New Jersey, Ahad ini, selepas mengharungi aksi sengit yang menghiburkan.

Jepun terlebih dahulu mengejutkan Brazil menerusi jaringan solo berkualiti Kaishu Sano pada minit ke-29 selepas kesilapan benteng pertahanan Brazil, sekali gus membungkam puluhan ribu penyokong Brazil yang membanjiri stadium dengan pakaian berwarna kuning.

Anak buah Carlo Ancelotti bangkit menyamakan kedudukan 11 minit selepas babak kedua bermula menerusi tandukan pemain veteran, Casemiro, ketika Brazil menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa kedua.

Martinelli kemudian muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan untuk mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan penyokong Brazil.

Rekod jelas tidak memihak kepada Jepun apabila mereka tidak pernah memenangi perlawanan kalah mati di Piala Dunia, manakala Brazil memburu gelaran keenam selepas muncul juara sebanyak lima kali sebelum ini.

Namun, skuad Brazil kali ini bukanlah pasukan terbaik mereka meskipun dibimbing Ancelotti, manakala Jepun dianggap antara pencabar berpotensi mencipta kejutan.

VINICIUS Junior mengawal bola sambil diasak pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu, dalam aksi pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Brazil dan Jepun di Stadium Houston, Houston, Texas. Foto AFP

Disokong paluan gendang penyokong yang bergema sepanjang perlawanan, Brazil menguasai permainan pada awal aksi di hadapan 68,777 penonton.

Sorakan penyokong Brazil semakin bergema apabila wajah Neymar dipaparkan di skrin besar stadium.

Sano, yang beraksi di posisi tengah bertahan, dilayangkan kad kuning selepas mengasari Vinicius Junior, sebelum penyerang Brazil, Matheus Cunha, memaksa penjaga gol Jepun, Zion Suzuki, menepis percubaan ke luar.

Selepas itu, Jepun mula menguasai rentak permainan.

Menjelang minit ke-30, skuad kendalian Hajime Moriyasu membuka tirai jaringan hasil kesilapan Danilo yang melakukan hantaran lemah.

Sano, yang dimasukkan dalam kesebelasan utama selepas menjadi antara empat pertukaran daripada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Sweden yang berkesudahan 1-1, merampas bola di bulatan tengah sebelum mudah melepasi Casemiro yang sudah mengutip kad kuning.

Pemain Mainz dari Jerman itu kemudian meluru ke depan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson, untuk gol pertamanya di pentas antarabangsa.

TSUYOSHI Watanabe dari Jepun meluahkan kekecewaan selepas kekalahan 1-2 kepada Brazil dalam aksi pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Houston. Foto AFP

Jaringan itu menyebabkan penyokong Brazil mula resah, dengan keluhan kedengaran setiap kali serangan mereka gagal atau hantaran dilakukan ke belakang.

Brazil, yang kali terakhir menjuarai Piala Dunia pada 2002, tampak goyah di bahagian pertahanan dan tumpul di jentera serangan.

Ancelotti melakukan pertukaran pada waktu rehat apabila Lucas Paqueta terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan penyerang muda berusia 19 tahun, Endrick.

Jepun, yang sebelum ini membelasah Tunisia serta mengikat Belanda dan Sweden untuk mara ke pusingan kalah mati, terus memberi tekanan kepada Brazil.

Brazil meningkatkan asakan sebaik babak kedua bermula, namun pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu, dua kali menyelamatkan keadaan dengan menghalang bola daripada melepasi garisan gol.

Brazil akhirnya menyamakan kedudukan apabila pertahanan Arsenal, Gabriel, melakukan hantaran lintang tepat yang disudahkan Casemiro menerusi tandukan tanpa kawalan di tiang jauh.

Vinicius, yang sebelum itu berjaya dikekang pertahanan Jepun, kemudian mengucar-ngacirkan benteng lawan sebelum percubaannya ditepis Suzuki ke tiang gol.

Brazil terus mengasak bagi memburu gol kemenangan dengan Vinicius, yang meledak empat gol pada peringkat kumpulan, semakin menyerlah.

Bagaimanapun, Martinelli muncul pada saat genting untuk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan dan memastikan Brazil mara ke pusingan 16 terakhir.- AFP

Continue Reading

Previous: Maghribi ‘tidak boleh dihentikan’ kata jurulatih selepas aksi mendebarkan menentang Belanda
Next: Piala Dunia 2026: Perancis kekal dengan corak menyerang berdepan Sweden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.