
KUCHING: Penyertaan Presiden JCI Sibu Jaya, Shirley Ling dalam Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (RAYS) 2026 membuktikan komitmen berterusan organisasi itu dalam memperkasakan kepimpinan belia serta menyokong agenda pembangunan lestari di Sarawak.
Program yang berlangsung dari 24 hingga 27 Jun lalu di Hotel Voco Kuching dan Raia Hotel itu menghimpunkan pemimpin muda, wakil agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik, pertubuhan belia serta komuniti tempatan dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu berkaitan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Shirley menyertai sidang kemuncak itu bersama Presiden Organisasi Tempatan JCI lain iaitu Elden Lau (JCI Sibu), Wong Siew Wu (JCI Sarikei), Ong Zhi Xuan (JCI Padawan), Vivizona Lee (JCI Damai), Chieng Li Jie (JCI Seduan) dan Samuel Ling (JCI Riam).
Turut menyertai delegasi tersebut ialah ahli-ahli daripada JCI Batu Kawa, JCI Jalan Tanjung Kidurong dan JCI Miri, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama serta perpaduan yang kukuh dalam kalangan organisasi tempatan JCI di seluruh Sarawak.
Sepanjang empat hari program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk ucaptama, perbincangan panel, bengkel dan sesi jaringan profesional yang memfokuskan kepada tindakan perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, pembangunan mampan serta kepimpinan belia.
Penyertaan dalam program berkenaan membuka peluang kepada peserta untuk menimba ilmu, berkongsi amalan terbaik, memperluaskan rangkaian kerjasama serta meningkatkan keupayaan dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih lestari.
Dalam pada itu, JCI Sibu Jaya terus komited melahirkan lebih ramai pemimpin muda berwibawa dengan menggalakkan ahlinya menyertai platform pembelajaran dan pembangunan kepimpinan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Melalui usaha berterusan itu, JCI Sibu Jaya berharap dapat melahirkan generasi pemimpin yang berdaya saing, berfikiran progresif dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat, di samping menyokong kelestarian alam sekitar untuk manfaat generasi akan datang.