
BINTANGOR: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor memusnahkan sarang tebuan di bumbung sebuah rumah berjaya mengelakkan ancaman terhadap keselamatan penghuni dan penduduk sekitar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.55 petang semalam melibatkan sebuah rumah di Jalan Paris Height, Batu 1.
Katanya, empat anggota bomba digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat sarang tebuan pada bahagian atap rumah berketinggian kira-kira empat meter.
“Komander operasi kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota bomba memakai pakaian perlindungan khas (PPE) dan menggunakan peralatan khas pemusnah tebuan serta gas LPG bagi memusnahkan sarang tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada 7.15 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 7.23 malam.
“Tindakan pantas anggota bomba berjaya menghapuskan ancaman serangga berbisa itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk memusnahkan sarang tebuan, terutama yang berada di tempat tinggi atau sukar diakses.
“Segera menghubungi pihak bomba sekiranya mengesan kewujudan sarang serangga berbisa yang boleh mengancam keselamatan penghuni atau orang awam,” katanya.
Oleh Earl Anek