Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jalan baharu Gedong-Ulu Simunjan dijangka siap dalam tempoh dua tahun
  • TEMPATAN

Jalan baharu Gedong-Ulu Simunjan dijangka siap dalam tempoh dua tahun

Utusan Sarawak 4 hours ago
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya, di Gedong, malam tadi.

GEDONG: Projek pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Gedong dengan Ulu Simunjan dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi, sekali gus bakal memendekkan masa perjalanan serta merancakkan pembangunan di kedua-dua kawasan berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan menyeluruh kerajaan negeri bagi meningkatkan jaringan perhubungan di Gedong dan Simunjan.

Menurut beliau, laluan berkenaan akan melalui Samalatong sebelum menghubungkan terus ke Gedong, sekali gus mengatasi masalah perjalanan yang sebelum ini mengambil masa lebih lama kerana laluan sedia ada yang berliku.

“Kita telah membuat satu perancangan untuk Gedong dan Ulu Simunjan. Antaranya ialah jalan raya yang menghubungkan Ulu Simunjan ke Gedong. Kita berharap jalan ini akan siap dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi menerusi Samalatong dan seterusnya ke Gedong.

“Apabila siap nanti, ia akan merapatkan lagi hubungan antara Gedong, Simunjan termasuk Ulu Simunjan,” katanya ketika berucap pada majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya, malam tadi.

Abang Johari berkata, selain projek berkenaan, kerajaan turut menaik taraf Jalan Munggu Kopi yang menghubungkan Serian ke Gedong sebelum disambungkan ke Samarahan bagi melengkapkan rangkaian jalan di kawasan selatan Sarawak.

Katanya, apabila keseluruhan rangkaian jalan termasuk Jambatan Sejingkat siap kelak, perjalanan dari Gedong dan Simunjan ke Kuching akan menjadi lebih singkat dan mudah.

Beliau berkata, rangkaian tersebut turut menghubungkan kawasan Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Batang Lupar, Lingga, Sri Aman dan Betong, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan.

“Gedong dan Simunjan tidak dapat dipisahkan. Walaupun berbeza daerah, kedua-duanya perlu dibangunkan secara seimbang supaya rakyat di kawasan ini menikmati kemudahan dan peluang pembangunan yang sama,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik akan terus dipertingkatkan sehingga tahun 2030 hasil kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh.

Beliau berkata, usaha membangunkan Gedong bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, malah turut melibatkan penerokaan ekonomi baharu berasaskan teknologi termasuk penyelidikan mikroalga bersama syarikat dari Jepun serta penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.

Katanya, semua inisiatif tersebut bertujuan memastikan Gedong terus berkembang seiring pembangunan pesat Sarawak tanpa meminggirkan mana-mana kawasan luar bandar.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Samalaju SME Cluster perkukuh peranan PMKS dalam ekosistem industri Sarawak
Next: Insiden letupan loji Shell MDS 1997: Khirudin imbau kembali cabaran pasukan bomba

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.