
DEBAK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang sekitar 2.4 meter selepas menerima laporan kehadiran reptilia itu berhampiran sebuah rumah di Jalan Debak Laut, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.30 pagi yang memaklumkan seekor ular tedung selar sedang bertembung dan bergaduh dengan seekor ular sawa berhampiran kawasan kediaman sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni rumah.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan, empat anggota APM Debak digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan menggunakan peralatan khas.

Menurutnya, anggota tiba di lokasi pada 10.37 pagi sebelum membuat penilaian keadaan dan memulakan pencarian terhadap ular yang dilaporkan berada di tepi rumah pengadu.
“Hasil operasi, seekor ular tedung selar sepanjang sekitar lapan kaki berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dan menjerut dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi itu melibatkan empat anggota Skuad Alpha iaitu Prebet Clarence Dunggau Mendit, Prebet Norhaslin Samsudin, Prebet Sakawie Salleh dan Prebet Lester Nyuin.
Beliau berkata, operasi turut menggunakan dua kenderaan persendirian serta beberapa peralatan khas termasuk penyepit ular, penjerut ular dan kotak simpanan ular bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat.
Katanya, ular tersebut kemudian dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai dan jauh dari kawasan penempatan penduduk bagi mengelakkan sebarang risiko kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Mohammad Noor menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap ular sekiranya menemui reptilia berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan yang selamat.
Beliau berkata, tindakan pantas orang awam melaporkan kejadian serta respons segera anggota APM berjaya memastikan situasi dapat dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Oleh Adi Safarman