
SIBU: Simposium Antarabangsa Penulis dan Pembaca Borneo 2026 (BARIS’26) menjadi platform penting dalam memupuk budaya membaca, penulisan dan perkongsian ilmu bagi melahirkan generasi yang mampu mencipta pengetahuan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Caroline Cleophas Jonah berkata, penganjuran simposium itu selaras dengan usaha membina masyarakat berilmu yang mampu berfikir secara kreatif, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
“BARIS’26 bukan sekadar menghimpunkan pencinta buku dan penggiat sastera, malah menjadi wadah meraikan idea, ilmu, kreativiti serta kuasa ekspresi manusia yang mampu mencetuskan perubahan positif.
“Perkongsian ilmu mampu menghubungkan masyarakat, mencetuskan inovasi, memelihara warisan serta membentuk masa depan,” katanya ketika merasmikan BARIS’26 selaku mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.
Caroline berkata, pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat merupakan tiga tonggak yang saling melengkapi dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang makmur, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Katanya, pendidikan melengkapkan individu dengan ilmu, kemahiran berfikir secara kritis dan kepakaran, manakala inovasi pula mengubah pengetahuan kepada penyelesaian yang bermakna serta membuka peluang baharu kepada masyarakat.
“Pembangunan bakat pula memastikan rakyat memiliki kemahiran, kreativiti, kebolehsuaian dan kepimpinan yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan penulis, pembaca, ahli akademik dan penyampai ilmu juga merupakan komponen penting dalam agenda pendidikan STEM kerana penyampaian ilmu yang berkesan membolehkan hasil penyelidikan serta inovasi dimanfaatkan oleh masyarakat.
Menurutnya lagi, BARIS’26 menghimpunkan penulis, pembaca, ahli akademik, penyelidik, penerbit dan penggiat kreatif dari pelbagai negara, sekali gus menggalakkan kerjasama rentas disiplin dan pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar terus memperkukuh budaya membaca, menulis, penyelidikan, kreativiti, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat supaya generasi muda bukan sekadar menjadi pengguna maklumat, tetapi pencipta ilmu, pencetus penyelesaian serta penyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Oleh Tarani Lanting