
HOUSTON, Amerika Syarikat: Pertahanan Brazil, Marquinhos, menyuarakan keyakinan bahawa pasukan itu semakin meningkat dari semasa ke semasa menjelang perlawanan pusingan 32 Piala Dunia menentang Jepun yang dianggap berbahaya pada 12.00 tengah malam ini (waktu Malaysia).
Jepun sebelum ini mencipta kejutan apabila menewaskan skuad kendalian Carlo Ancelotti 3-2 di laman sendiri pada Oktober lalu dalam perlawanan persahabatan, sekali gus mencatat kemenangan pertama bersejarah ke atas pasukan Amerika Selatan itu.
Ditambah dengan kemenangan 1-0 ke atas England di Wembley, Jepun hadir ke Piala Dunia di Amerika Utara sebagai pasukan “kuda hitam”.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Houston dengan tempat ke pusingan 16 terakhir menjadi taruhan, dan Marquinhos menampilkan nada penuh keyakinan.
Pemain Paris Saint-Germain berusia 32 tahun itu, yang tidak bersama pasukan dalam kekalahan persahabatan tersebut, berkata Brazil telah mengambil pengajaran daripada perlawanan berkenaan.
“Saya rasa itu benar-benar menjadi pengalaman pembelajaran untuk kami.
“Segala yang kami lalui dalam beberapa tahun kebelakangan ini membawa kami ke saat ini, ke Piala Dunia ini, dan semuanya merupakan proses pembelajaran.

“Ia benar-benar satu ujian, dan jurulatih kami telah melihat apa yang beliau perlu lihat,” katanya.
Beliau menambah bahawa skuad Brazil kini telah banyak berkembang.
“Saya rasa sejak itu kami banyak berkembang.
“Kami telah banyak berubah sebagai satu skuad.
“Kami telah melakukan banyak penyesuaian dan dalam beberapa perlawanan terakhir, kami juga semakin meningkat sebagai satu pasukan.”
Marquinhos turut memuji jurulatih berpengalaman Itali, Carlo Ancelotti, yang terkenal dengan kejayaan di peringkat kelab, kerana membawa kestabilan dan kepintaran taktikal.
Brazil yang memburu kejuaraan Piala Dunia keenam mereka bermula hambar selepas seri 1-1 dengan Maghribi, sebelum menewaskan Haiti dan Scotland masing-masing 3-0.
Skuad itu dilihat semakin serasi sepanjang kejohanan selepas melalui ujian getir menentang Maghribi, dan Marquinhos berkata:
“Sentiasa ada rasa bangga apabila bermain untuk pasukan kebangsaan.
“Tetapi pada awalnya kami belum benar-benar serasi, sebelum beberapa penyesuaian dibuat oleh jurulatih.
“Beliau seorang jurulatih yang bijak. Beliau benar-benar tahu cara meningkatkan prestasi pemain,” katanya sambil merujuk kepada “sedikit kekacauan” sebelum Ancelotti tiba pada Mei tahun lalu.
“Segalanya kini telah menjadi lebih baik… kami tahu kami mempunyai kualiti, kami mempunyai ketua jurulatih yang hebat.”
Jurulatih Itali berusia 67 tahun, Carlo Ancelotti, yang merupakan antara pengendali paling disegani dalam bola sepak moden, turut berada dalam keadaan tenang seperti biasa.
“Kami memerlukan banyak perkara: minda yang kuat, hati yang kuat, fikiran yang jelas,” katanya.
“Kami perlu bersedia untuk apa sahaja yang mungkin berlaku dalam perlawanan kalah mati kerana banyak perkara boleh terjadi.
“Saya rasa pasukan sudah bersedia. Mereka bermotivasi dan yakin.”
Ancelotti, yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia sebagai jurulatih, berkata belum ada pasukan yang jelas menjadi pilihan untuk menjuarai kejohanan itu.
Namun, beliau mengakui Jepun sebagai pasukan yang mengagumkan, menyifatkan mereka sebagai “antara pasukan terbaik di dunia”.
“Beberapa pasukan mungkin lebih menyerlah pada peringkat kumpulan, termasuk juara bertahan Argentina dan Perancis,” katanya.
“Tetapi saya rasa belum ada lagi pasukan yang benar-benar muncul sebagai pilihan utama.” – AFP