
KUCHING: Sarawak telah melontarkan idea penubuhan Platform Ekonomi Borneo sebagai langkah strategik untuk menyatukan Sabah, Sarawak, Kalimantan, dan Brunei dalam mendepani cabaran serta peluang ekonomi hijau di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kerjasama rentas sempadan ini mampu menjadikan wilayah Borneo sebagai entiti ekonomi yang lebih kompetitif.
Menurut beliau, inisiatif ini boleh direalisasikan sekiranya komuniti perniagaan, khususnya Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI), mula merintis kerjasama lebih rapat dengan rakan strategik di Kalimantan dan Brunei.
Dengan bergerak sebagai satu pasukan yang bersepadu, Borneo berupaya memanfaatkan potensi besar dalam sektor perdagangan karbon, tenaga boleh diperbaharui, dan pelaburan berasaskan teknologi hijau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 yang berlangsung di Kompleks UNIFOR, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian terhadap kelebihan semula jadi Pulau Borneo yang memiliki kira-kira 60 peratus litupan hutan hujan tropika, menjadikannya antara penyimpan karbon terbesar dunia yang sangat kritikal dalam agenda perubahan iklim global.
Abang Johari menambah bahawa kelebihan tersebut wajar dimanfaatkan melalui pengurusan ekonomi yang tersusun bagi memastikan Borneo muncul sebagai hab pertumbuhan baharu di Asia Tenggara.
Penggabungan kekuatan antara wilayah terbabit bukan sahaja membuka ruang pelaburan dan pemindahan teknologi, malah membolehkan Borneo mempunyai suara yang lebih dominan dalam sebarang rundingan antarabangsa mengenai isu alam sekitar dan pembangunan mampan.
Oleh Shikin Mahmud