
GUADALAJARA, Mexico: Ketua jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo, meletakkan jawatan pada Ahad, sehari selepas pasukannya tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2026, selain menerima kecaman daripada Presiden negara itu.
Bekas kapten Korea Selatan berusia 57 tahun itu, yang mengemudi skuad kebangsaan buat kali kedua, menyaksikan pasukannya tersingkir awal daripada Piala Dunia buat kali kedua selepas turut gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2014.
Korea Selatan dijangka mampu mara daripada Kumpulan A yang turut dibarisi tuan rumah bersama Mexico, Afrika Selatan dan Republik Czech.
Namun, mereka tewas 0-1 kepada Afrika Selatan dan Mexico, sebelum menamatkan saingan dengan tiga mata hasil kemenangan tunggal 2-1 ke atas Republik Czech.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan bergantung harap kepada slot sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, harapan tersebut musnah selepas keputusan perlawanan lain pada Sabtu tidak memihak kepada mereka, sekali gus mendorong Hong mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
“Sepanjang dua tahun lalu, saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri setiap kali perlu membuat keputusan penting, memilih pemain atau menyediakan latihan serta perlawanan, sama ada keputusan itu benar-benar terbaik untuk bola sepak Korea,” katanya kepada pemberita di Mexico, menurut Agensi Berita Yonhap.
“Saya tidak boleh mengatakan setiap keputusan yang dibuat adalah tepat, tetapi saya boleh katakan semua keputusan itu dibuat demi kepentingan bola sepak Korea.”
Peletakan jawatan Hong dibuat beberapa jam selepas Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengkritik prestasi pasukan kebangsaan dengan menyalahkan individu yang disifatkannya sebagai “tidak berkeupayaan”, selain memohon maaf kepada rakyat.
“Apabila kesetiaan dan kronisme lebih diutamakan daripada kecekapan, dan individu yang tidak berkeupayaan dilantik ke jawatan kepimpinan, keputusan seperti ini hampir pasti akan berlaku.
“Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kekecewaan besar yang berpunca daripada keputusan yang tidak boleh diterima ini.
“Kami akan segera melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran sukan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya menerusi hantaran di platform X tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Hong sememangnya berdepan kritikan hebat daripada penyokong dan media Korea Selatan sejak sebelum kegagalan pasukan di Piala Dunia lagi.
Beliau membuat keputusan menggugurkan kapten berpengalaman, Son Heung-min, ketika menentang Afrika Selatan, walaupun Korea Selatan hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke pusingan kalah mati, namun percaturan itu memakan diri.
Son, yang akan berusia 34 tahun bulan depan, dijangka telah mengharungi penampilan terakhirnya di Piala Dunia dan sebelum ini memberi bayangan akan bersara daripada arena bola sepak antarabangsa.
Hong, yang pernah diejek penyokong dalam beberapa perlawanan di laman sendiri selepas dilantik pada Julai 2024, berkata beliau akan terus menyokong pasukan kebangsaan.
“Walaupun saya meninggalkan pasukan kebangsaan, saya tidak meninggalkan bola sepak Korea sepenuhnya.
“Saya akan terus memberi sokongan sepenuh hati kepada pasukan kebangsaan dan berharap mereka kembali mendapat kepercayaan serta kasih sayang rakyat,” katanya. – AFP