
KAPIT: Pembangunan Sarawak kini berpaksikan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan modal insan sebagai teras untuk merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan pembangunan negeri kini berubah seiring perkembangan teknologi dan tuntutan global, termasuk peralihan daripada ekonomi berasaskan hasil hutan kepada ekonomi karbon yang lebih mampan.
Menurutnya, hutan yang sebelum ini dilihat sebagai sumber balak kini berperanan sebagai penyerap karbon, sekali gus membuka peluang baharu menerusi perdagangan karbon di bawah Perjanjian Paris 2015.
“Ini merupakan satu perubahan besar dalam ekonomi dunia apabila pokok dan hutan menjadi aset bernilai melalui perdagangan karbon berasaskan piawaian antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Kapit 2026, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak turut memanfaatkan kemajuan teknologi seperti AI dan model bahasa berskala besar model bahasa berskala besar (Large Language Model bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam sektor tenaga, katanya, Sarawak berada pada kedudukan strategik kerana memiliki gabungan sumber tenaga hidro dan gas asli yang membolehkan negeri ini muncul sebagai hab tenaga hijau.
“Perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petronas yang sedang berlangsung dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan industri tenaga di Sarawak dan negara,” ujarnya.
Abang Johari berkata, pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan 64 program pendidikan dan latihan dalam bidang sains, teknologi, pengurusan, kewangan serta psikologi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Perubahan gaya hidup moden turut memerlukan lebih ramai tenaga profesional seperti ahli psikologi bagi membantu masyarakat menghadapi cabaran kehidupan pada masa hadapan,” katanya.
Menyentuh pembangunan di Kapit, Abang Johari berkata, kejayaan pembinaan rangkaian jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak bukan sahaja membuka akses kepada pembangunan, malah membawa cabaran baharu apabila Kapit kini mula berdepan masalah kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, sebelum ini kesesakan hanya berlaku di jeti kerana pengangkutan bergantung kepada laluan sungai, namun keadaan berubah selepas jaringan jalan raya siap dibina.
“Dulu kesesakan berlaku di jeti, tetapi sekarang kesesakan berlaku di darat. Apabila jalan dibina, lebih ramai orang datang untuk berniaga, bertemu rakan dan menjalankan pelbagai urusan, sekali gus meningkatkan jumlah trafik,” katanya.
Beliau berkata, rangkaian jalan balak yang sedang dinaik taraf meliputi kira-kira 5,700 kilometer (KM) di seluruh Sarawak, ang kini berada pada peringkat akhir pelaksanaannya.
Menurutnya, kejayaan membangunkan rangkaian jalan tersebut menjadi bukti transformasi pembangunan Sarawak, namun pada masa sama memerlukan perancangan baharu bagi menampung pertumbuhan pesat di kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan memperluaskan pembangunan bandar Kapit dengan konsep bandar yang unik, mesra alam dan lebih terancang.
“Saya percaya Kapit akan menjadi sebuah bandar yang unik dan mesra alam pada masa hadapan,” katanya lagi.
Abang Johari berkata, Program Sarawakku Sayang menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat bagi menjelaskan dasar serta pencapaian kerajaan, selain mendapatkan maklum balas rakyat sebagai panduan dalam merancang pembangunan negeri pada masa hadapan.
Turut hadir ialah dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) yang juga ADUN Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat serta yang lain.
Oleh Akun Giman