DBKU PBT pertama di Sarawak raih penarafan Bandar Pintar Tahap 2

Facebook
WhatsApp
DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerima pengiktirafan Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 bagi kategori Bandar Pintar Dinamik (Developing Smart City) pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di Petaling Jaya, Selangor. Foto DBKU

PETRA JAYA, 5 November: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak memperoleh Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 bagi 2026, meningkat daripada Tahap 1 yang dicapai pada 2025.

Pengiktirafan itu diterima Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di Dewan Sivik Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DATUK Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman (lima, dari kiri) bergambar kenangan selepas menerima pengiktirafan Penarafan Bandar Pintar Tahap 2. Foto DBKU

Peningkatan penarafan itu mencerminkan usaha berterusan DBKU dalam memperkukuh pembangunan bandar pintar menerusi penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Sebagai PBT pertama di Sarawak yang mencapai penarafan berkenaan, DBKU akan terus memperluas pelaksanaan inisiatif bandar pintar dengan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan penyelesaian yang membawa manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.

Pencapaian itu turut menjadi pemangkin kepada usaha DBKU membangunkan Kuching sebagai bandar raya pintar yang mampan, berdaya tahan dan inklusif, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.

DBKU sebelum ini memperoleh Penarafan Bandar Pintar Tahap 1 pada 2025 sebelum meningkat kepada Tahap 2 pada 2026.