Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Dembele ledak hatrik, Perancis benam Norway 4-1
  • SUKAN

Dembele ledak hatrik, Perancis benam Norway 4-1

Utusan Sarawak 10 hours ago
PENYERANG Perancis #07, Ousmane Dembélé (tengah), meraikan jaringan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak Kumpulan I Piala Dunia 2026 antara Norway dan Perancis di Stadium Boston, Foxborough. Foto AFP

FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Ousmane Dembele meledak antara hatrik terpantas dalam sejarah Piala Dunia apabila pemenang Ballon d’Or itu menjadi watak utama kemenangan 4-1 Perancis ke atas Norway yang menurunkan barisan kedua, sebentar tadi sementara Erling Haaland hanya memerhati dari bangku simpanan.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu membuka jaringan seawal minit ketujuh di Stadium Gillette berhampiran Boston, menambah gol kedua pada minit ke-20 dan, selepas Thelo Aasgaard merapatkan kedudukan, melengkapkan hatrik pada minit ke-32.

Satu-satunya pemain yang mencatat hatrik lebih awal dalam aksi Piala Dunia ialah Erich Probst, yang menjaringkan tiga gol dalam tempoh 24 minit pertama ketika Austria menentang Czechoslovakia pada edisi 1954.

Dembele kini mengumpul empat gol di kejohanan itu selepas turut menjaringkan gol ketika Perancis menewaskan Iraq 3-0 pada Isnin lalu, sekali gus sedikit mengurangkan tekanan terhadap kapten Kylian Mbappe untuk sentiasa menjadi penyelamat pasukan.

Desire Doue melengkapkan kemenangan dengan gol pada penghujung perlawanan, membolehkan Perancis menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod sempurna sembilan mata. Mereka menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan dan mara selaku juara Kumpulan I.

Perancis akan kekal di timur laut Amerika Syarikat untuk aksi pusingan 32 menentang pasukan tangga ketiga terbaik di Stadium MetLife, New Jersey, awal pagi Rabu ini (waktu Malaysia).

Hari itu turut penuh emosi buat Les Bleus yang terpaksa beraksi tanpa ketua jurulatih Didier Deschamps selepas beliau pulang ke Perancis bagi menghadiri pengebumian ibunya. Deschamps, yang akan mengakhiri khidmat selepas 14 tahun membimbing pasukan sebaik tamat Piala Dunia, dijangka kembali menyertai skuad esok.

Norway, yang turut menyaksikan Jorgen Strand Larsen gagal menyempurnakan sepakan penalti, mara selaku naib juara kumpulan dengan enam mata selepas lebih awal mengesahkan kemaraan hasil kemenangan ke atas Iraq dan Senegal.

Situasi itu menjelaskan keputusan jurulatih Stale Solbakken melakukan 10 pertukaran dalam kesebelasan utama selepas kemenangan 3-2 ke atas Senegal pada perlawanan sebelumnya.

Haaland, Odegaard direhatkan

Haaland, kapten Martin Odegaard dan penyerang Alexander Sorloth antara pemain yang direhatkan, dengan pemain tengah Benfica, Fredrik Aursnes, menjadi satu-satunya pemain utama yang dikekalkan.

Barisan utama dijangka kembali diturunkan pada pusingan seterusnya apabila Norway menentang Ivory Coast di Dallas, awal pagi Rabu ini.

Perancis pula tidak menurunkan pertahanan Arsenal, William Saliba, yang mengalami sakit belakang, menyebabkan Maxence Lacroix dari Crystal Palace mengambil alih tempatnya. Doue, Theo Hernandez dan Aurelien Tchouameni kembali disenaraikan.

Bagaimanapun, Dembele dan Mbappe terus dikekalkan, dengan Mbappe memperoleh penampilan ke-101 bersama skuad kebangsaan sambil memburu tambahan gol untuk meningkatkan jumlah 16 jaringan Piala Dunia dan menghampiri rekod keseluruhan 18 gol milik Lionel Messi.

Namun, Dembele yang pernah bergandingan dengan Mbappe ketika Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 mencuri tumpuan menerusi aksi cemerlangnya.

Mbappe mencipta peluang untuk gol pertama apabila Dembele memotong dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol Egil Selvik.

Dembele berubah menjadi pemenang Ballon d’Or selepas jurulatih PSG, Luis Enrique, mengalihkannya daripada posisi sayap kepada peranan lebih tengah.

Namun, dia tetap mengganas apabila bergerak dari sayap kanan dengan menjaringkan gol kedua menerusi rembatan lencong kaki kiri ke penjuru jauh.

Aasgaard yang beraksi bersama Rangers merapatkan jurang sejurus sepak mula bersambung apabila pertahanan Perancis hilang tumpuan, sebelum Dembele sekali lagi meledak gol ketiga menerusi rembatan kaki kiri ke penjuru bawah dari dalam kotak penalti.

Walaupun tiga gol dalam tempoh 25 minit babak pertama bukan hatrik terpantas dalam sejarah Piala Dunia — rekod itu masih milik Laszlo Kiss dari Hungary yang menjaringkan tiga gol dalam tempoh kurang lapan minit menentang El Salvador pada 1982 — Dembele kini menyertai kelompok elit pemain Perancis yang pernah mencipta hatrik di kejohanan itu.

Sebelum ini, hanya Just Fontaine (dua kali pada 1958) dan Mbappe, yang menjaringkan tiga gol pada final 2022, pernah melakukannya.

Norway berpeluang merapatkan kedudukan pada awal babak kedua selepas Oscar Bobb dijatuhkan Hernandez di dalam kotak penalti, namun sepakan Strand Larsen berjaya diselamatkan Mike Maignan.

Doue kemudian menanduk masuk gol keempat Perancis pada masa kecederaan. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Zon Kabong juara Bola Sepak MSS Bahagian Betong, tebus kekecewaan musim lalu
Next: Dua gol Gueye hidupkan semula harapan Senegal di Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.