Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Dana aktiviti dan kemudahan pembelajaran sekolah pedalaman perlu diperkasa
  • Tengah
  • WILAYAH

Dana aktiviti dan kemudahan pembelajaran sekolah pedalaman perlu diperkasa

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Abdullah Saidol menandatangani buku pelawat sebagai simbolik lawatan beliau ke Program Ngabang Gawai DUN N.42 Semop di SK Mupong, Bintangor, hari ini. Foto: UKAS

BINTANGOR: Selain memberi perhatian terhadap isu bangunan sekolah yang daif, Kementerian Pendidikan turut disaran memperkukuh peruntukan bagi aktiviti kokurikulum serta penyediaan kemudahan pembelajaran di sekolah luar bandar dan pedalaman agar pelaksanaan dasar pendidikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kekangan kewangan yang dihadapi sekolah menyebabkan pelbagai aktiviti yang mampu membentuk sahsiah, kepimpinan dan jati diri murid sukar dilaksanakan meskipun mendapat komitmen tinggi daripada para guru.

Katanya, usaha melahirkan pelajar yang seimbang bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal sekolah semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan dana mencukupi bagi membolehkan sekolah menganjurkan pelbagai program kokurikulum, sosial dan sukan.

“Selain membaik pulih sekolah yang uzur, kerajaan juga perlu melihat keperluan menyediakan dana yang mencukupi untuk aktiviti sekolah.

“Banyak program yang dirancang oleh guru tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan, sedangkan aktiviti inilah yang membentuk keyakinan diri, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngabang Gawai DUN N.42 Semop di Padang Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Mupong, Bintangor, hari ini.

DATUK Abdullah Saidol bersama tetamu kehormat, ketua masyarakat dan penduduk menghadiri Program Ngabang Gawai DUN N.42 Semop di Padang Serbaguna SK Mupong, Bintangor, hari ini. Foto: UKAS

Menurut beliau, pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan juga memerlukan komitmen kewangan yang besar bagi memastikan sekolah memiliki kemudahan asas yang mencukupi.

“Penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) memerlukan komputer, projektor LED serta pelbagai peralatan digital lain. Jika kemudahan ini tidak disediakan secukupnya, dasar yang diperkenalkan hanya akan menjadi retorik tanpa impak yang sebenar kepada sekolah,” katanya.

Program Ngabang Gawai DUN N.42 Semop yang berlangsung selama tujuh hari itu melibatkan penganjuran di 14 lokasi dengan penyertaan masyarakat daripada kira-kira 50 rumah panjang.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (MRP) sebanyak RM60,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Preddy serta RM50,000 kepada JKKK Rumah Umboh bagi menaik taraf jalan menuju ke jeti rumah panjang masing-masing, selain RM15,000 kepada JKKK Rumah Seli untuk pembinaan rumah memasak.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek pembinaan jalan Fasa 1 yang menghubungkan sembilan rumah panjang di kawasan Mupong Tengah telah siap dengan kos RM400,000, manakala Fasa 2 melibatkan kerja-kerja penurapan jalan bernilai RM450,000 akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, seramai 12 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang turut menerima peruntukan di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) berjumlah RM495,000.

Turut hadir ketua-ketua masyarakat, Guru Besar SK Mupong, warga pendidik sekolah serta penduduk dari sembilan rumah panjang sekitar Mupong.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, kerajaan Sarawak akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar termasuk meningkatkan kemudahan pendidikan dan infrastruktur demi memastikan rakyat di kawasan pedalaman tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kerajaan GPS terus komited memperkasa pendidikan luar bandar
Next: Gangguan perkhidmatan Internet di Lawas berlarutan hampir seminggu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.