JULAU, 19 Oktober: Cadangan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 perlu diperluaskan kepada lebih banyak syarikat merentasi pelbagai sektor ekonomi bagi membantu golongan pekerja meningkatkan pendapatan dan menghadapi tekanan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, peluasan dasar tersebut penting bagi memastikan manfaat peningkatan gaji dapat dinikmati oleh lebih ramai pekerja, termasuk mereka yang berkhidmat dalam syarikat berskala kecil dan sederhana.
“Saya berharap pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 dapat diperluaskan kepada semua syarikat merentasi industri dan sektor di negara ini.
“Walaupun pelaksanaan tahap gaji minimum pada masa ini melibatkan syarikat yang mempunyai perolehan melebihi RM50 juta, saya yakin dasar itu berpotensi untuk diperluaskan kepada lebih banyak syarikat pada masa hadapan.
“Pada pendapat saya, langkah itu perlu walaupun sukar untuk memastikan lebih ramai pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan, sekali gus membantu mereka menghadapi kos sara hidup,” katanya selepas menghadiri program di Rumah Danggat, Lubok Kedang, Jalan Engkamop kelmarin.
Katanya, usaha meningkatkan pendapatan pekerja perlu diberikan perhatian memandangkan kenaikan kos sara hidup memberi kesan kepada kemampuan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya elaun tuai rumah dinaikkan kepada RM2,000 sebulan sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.
“Bagi saya juga, saya berharap elaun tuai rumah dapat dinaikkan kepada RM2,000 sebulan bagi mengiktiraf tanggungjawab besar yang dipikul oleh ketua masyarakat di kampung.
“Peranan tuai rumah bukan sahaja memimpin masyarakat, malah merangkumi pelbagai tanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal masyarakat, menyelesaikan masalah dan mengurus hal ehwal masyarakat,” katanya.
Tambahnya, tanggungjawab tersebut memerlukan komitmen berterusan, selain kemahiran mengurus dan keupayaan membuat pertimbangan dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi penduduk.
Sehubungan dengan itu, Larry berpandangan bahawa kadar elaun yang bersesuaian penting bagi menghargai peranan tuai rumah dan memastikan tanggungjawab kepemimpinan masyarakat terus mendapat perhatian sewajarnya.
“Jika elaun tuai rumah tidak dinaikkan, siapakah yang sanggup melaksanakan tanggungjawab ini lebih-lebih lagi apabila pekerjaan itu memerlukan kemahiran, kecerdasan dan komitmen tinggi dalam pengurusan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berharap usaha meningkatkan pendapatan pekerja dan menjaga kebajikan pemimpin masyarakat terus diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negara, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
“Saya berharap kebajikan pekerja luar bandar dan pemimpin masyarakat akan terus diberi perhatian yang sewajarnya bagi memastikan sumbangan mereka kepada pembangunan keluarga dan masyarakat dapat dihargai,” tambahnya.
Di program tersebut, Larry turut menyalurkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM24,600 kepada empat penerima bagi membantu keperluan dan aktiviti komuniti setempat.
Penerima sumbangan ialah Rumah Danggat, Jalan Engkamop; Rumah Jeffery, Batu 4; Biro Wanita Rumah Danggat Engkamop; dan Biro Wanita Rumah Tadong, Gerugu Sengaih.
Oleh Earl Anek




