ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) sedang menjalankan tinjauan kesan pandemik Covid-19 berkaitan sosioekonomi penduduk di negeri ini.
Kaji selidik yang bermula 29 April itu bertujuan sebagai input kepada kerajaan bagi menilai kesan Covid-19 dan impak terhadap sosioekonomi penduduk Sarawak dengan menggubal dasar, merancang dan membangun program serta melaksanakan intervensi sosioekonomi yang tepat dan berkesan.
Sehubungan itu, orang ramai dipohon untuk menjawab soal selidik itu jika anda adalah menetap di Sarawak tidak kira pesara kerajaan dan swasta, suri rumah, warga emas, penganggur dan lain-lain atau bekerja sama ada di sektor kerajaan, swasta atau sendiri.
Selain itu, mereka yang hilang pekerjaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar Institusi Pendidikan Awam/Swasta di Sarawak atau pemilik perniagaan yang dijalankan di negeri ini turut diseru untuk menyertai kaji selidik itu.
Kaji selidik tersebut mengandungi lima bahagian dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk diisi sepenuhnya.
KWKPK menegaskan bahawa semua maklumbalas yang diberikan adalah sulit.
Untuk mengambil bahagian, orang ramai boleh melayari pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdYISSBuzpbhFJcGEVQAhRwBmFvUzVVu1nHPnEl1_3O29kwbQ/viewform?vc=0&c=0&w=1 untuk terus ke borang soal selidik.
Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh memberi maklumbalas kepada jimmysalau@sarawak.gov.my.