
KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan aduan berkaitan penutupan akaun bank secara tiba-tiba tanpa penjelasan munasabah kepada pengguna.
Presidennya, Dr. Wynson Ong Teck Ping berkata, dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, PPS menerima tiga aduan daripada pengguna yang mendakwa akaun mereka ditutup atau dipaksa menutup akaun tanpa sebab yang jelas oleh pihak bank.
Menurut beliau, pengguna terbabit telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada pihak bank, namun dimaklumkan tiada maklumat lanjut dapat diberikan dan mereka diarahkan merujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Bagaimanapun, semakan dengan BNM mendapati tiada sebarang rekod isu atau arahan berkaitan akaun berkenaan.
“Semakan lanjut termasuk dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, juga mendapati pengadu tidak terlibat dalam sebarang siasatan atau kes jenayah komersial,” katanya.
Lebih membimbangkan, PPS turut menerima satu kes melibatkan seorang pengguna yang mendakwa akaun banknya telah ditutup sejak lapan tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian sehingga kini, sekali gus menjejaskan urusan kewangan harian termasuk tuntutan insurans, penerimaan gaji dan operasi perniagaan.

Dr. Wynson menegaskan PPS memahami hak serta tanggungjawab institusi perbankan dalam menangani akaun yang disyaki terlibat dalam aktiviti mencurigakan atau jenayah kewangan seperti penipuan dan pengubahan wang haram.
Namun, beliau menegaskan pengguna yang tidak mempunyai sebarang rekod salah laku berhak diberikan penjelasan yang jelas dan telus.
“Jika terdapat bukti salah guna akaun, bank berhak mengambil tindakan. Tetapi jika tiada kesalahan dibuktikan, pengguna tidak wajar dibiarkan tanpa penjelasan sehingga menjejaskan kehidupan dan reputasi mereka,” katanya.
Menurut beliau, penutupan satu akaun bank boleh memberi kesan berantai kepada reputasi kewangan pengguna sehingga menyebabkan akaun di institusi lain turut terjejas atau permohonan baharu ditolak.
Sehubungan itu, PPS mencadangkan institusi perbankan menilai semula prosedur sedia ada, termasuk mempertimbangkan pembekuan sementara akaun sebagai langkah lebih adil sementara siasatan dijalankan.
“Jika akaun disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan, pembekuan sementara lebih wajar. Jika pengguna didapati tidak bersalah, mereka perlu diberikan semula akses atau dipulihkan status akaun. Prinsip keadilan mesti diberi keutamaan,” jelasnya.
PPS memaklumkan perkara itu telah dibawa kepada Bank Negara Malaysia dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan penyelesaian adil kepada pengguna terlibat.

Pada masa sama, PPS menggesa institusi kewangan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan akaun pelanggan serta memastikan penjelasan diberikan sekiranya sebarang tindakan diambil.
“Usaha membanteras scam dan jenayah kewangan perlu diteruskan, namun ia mesti disasarkan kepada pelaku sebenar, bukan pengguna yang tidak bersalah,” katanya.
PPS turut menggesa orang ramai yang berdepan isu sama agar tampil membuat aduan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Aduan boleh disalurkan melalui talian rasmi PPS di 017-710 9299.