
BINTULU: Kelab Golf Bintulu bakal menganjurkan Kejohanan Piala Presiden dan Penghargaan Khas Golf 2026 hujung minggu ini sebagai usaha memperkukuh hubungan dalam komuniti serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi sukan golf.
Presiden Kelab Golf Bintulu, Johnny Pang Leong Ming, berkata kejohanan berkenaan merupakan kesinambungan acara Penghargaan Khas Kelab Golf yang dianjurkan setiap tahun dan telah menjadi antara platform penting untuk menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, penganjuran kali ini lebih istimewa apabila kejohanan tersebut buat julung kalinya diadakan sebagai Piala Presiden Kelab Golf Bintulu selepas beliau dipilih sebagai presiden kelab berkenaan.
“Acara seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk bersaing secara sihat, malah menjadi platform untuk membina rangkaian persahabatan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Sukan golf mampu menjadi medium yang menyatukan individu daripada pelbagai latar belakang di samping menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu berkata kejohanan itu dijangka menarik penyertaan pemain golf, wakil syarikat korporat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan serta orang ramai yang mempunyai minat terhadap sukan berkenaan.
Pada masa yang sama, acara itu turut berlangsung serentak dengan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Kelab Golf Bintulu dan pemilihan jawatankuasa baharu, sekali gus memberi peluang kepada ahli untuk terlibat secara langsung dalam proses pentadbiran dan hala tuju kelab.
Johnny Pang berkata penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen Kelab Golf Bintulu dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan penyertaan ahli serta memajukan pembangunan sukan golf di bahagian ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penaja, rakan strategik, sukarelawan dan semua pihak yang terus memberikan sokongan sehingga membolehkan kejohanan itu dianjurkan dengan jayanya.
Selain menyertai pertandingan, peserta juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk cabutan bertuah dan hadiah penghargaan yang disediakan oleh pihak penganjur.
Kejohanan itu dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara golf utama di Bintulu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan budaya kesukanan dan pengukuhan jaringan komuniti di Sarawak.
Oleh Carolyne Utih