

PAKAN: Seramai 152 murid menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran yang dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Babai bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai aspek keselamatan serta tindakan kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dikendalikan oleh empat anggota bomba.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga sekolah mengenai langkah keselamatan kebakaran serta prosedur menyelamatkan diri sekiranya berlaku kecemasan.
“Program ini memberi peluang kepada murid untuk memahami tindakan yang perlu diambil ketika berdepan situasi kebakaran serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran perlu diterapkan sejak di bangku sekolah agar budaya keselamatan dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika dihubungi.
Antara pengisian utama program ialah latihan pengungsian bangunan dan latihan kebakaran yang memberi pengalaman praktikal kepada murid mengenai prosedur pemindahan kecemasan.
Selain itu, peserta turut mengikuti ceramah kesedaran keselamatan kebakaran yang menerangkan punca kebakaran serta langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Murid sekolah itu juga didedahkan dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api serta demonstrasi pemadaman kebakaran dapur yang kerap berlaku di kediaman.
“Pendedahan seperti ini penting supaya orang ramai mengetahui kaedah yang betul untuk bertindak pada peringkat awal sebelum bantuan kecemasan tiba,” katanya.
Tambahnya, program tersebut turut dimeriahkan dengan pameran jentera dan peralatan bomba yang memberi peluang kepada murid mengenali fungsi serta peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Selain itu, aktiviti Celik Suri yang diadakan turut membantu meningkatkan kefahaman peserta mengenai aspek keselamatan dan pencegahan kebakaran di rumah.
“Kami akan terus melaksanakan program kesedaran seperti ini dari semasa ke semasa bagi memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat serta mengurangkan risiko kebakaran,” katanya.
Oleh Earl Anek