
PANTU: Penglibatan murid dalam sukan bola sepak menerusi aktiviti kokurikulum memainkan peranan penting dalam membentuk semangat kerjasama, disiplin serta sahsiah yang cemerlang dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sukan berpasukan seperti bola sepak mengajar murid-murid untuk saling bekerjasama, merancang strategi dan berkomunikasi dengan baik bagi mencapai kejayaan bersama.
Menurut beliau, nilai-nilai murni yang diterapkan melalui sukan mampu melahirkan modal insan berkualiti yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keperibadian yang baik dan semangat kepimpinan tinggi.
“Setiap pemain mempunyai peranan tersendiri dan kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada kerjasama serta perancangan yang rapi dalam menghadapi pihak lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak 11 Tahun Ke Bawah (TKB) Piala Perak Rebutan Yayasan Sarawak anjuran Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Pantu di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bangkong, Pantu, hari ini.

Harden turut menekankan bahawa sokongan ibu bapa merupakan faktor penting dalam membantu anak-anak mencapai kecemerlangan, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum serta pembentukan sahsiah yang terpuji.
Katanya, penglibatan aktif ibu bapa akan memberi motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha dan berkeyakinan dalam menyertai pelbagai aktiviti yang mampu meningkatkan potensi diri.
Sebanyak sembilan pasukan yang mewakili 11 sekolah rendah Zon Pantu mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut bagi merebut gelaran juara serta peluang beraksi di peringkat antara Zon Bahagian Sri Aman.
Kejohanan antara zon itu dijangka berlangsung pada bulan Ogos di Stadium Sri Aman dan akan menjadi platform pemilihan pemain yang bakal mewakili MSS Bahagian Sri Aman ke kejohanan peringkat negeri.
Pada majlis yang sama, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Chung Hua Bangkong.
Beliau turut meluluskan peruntukan MRP sebanyak RM5,000 kepada PIBG SJKC Chung Hua Pantu sebagai sokongan terhadap usaha memperkasakan pembangunan pendidikan serta aktiviti kokurikulum di kedua-dua sekolah berkenaan.
Oleh Adi Safarman